GAZA CITY, 21 November- Puluhan terkorban atau hilang dalam serangan udara Israel di utara Gaza, manakala serangan lain di wilayah itu menyebabkan 22 maut.
Serangan pertama berlaku di kawasan kediaman berhampiran Hospital Kamal Adwan, yang menurut pengarah hospital, Dr. Hossam Abu Safiya, menyebabkan "puluhan orang" terkorban atau hilang.
Proses menyelamat dan mengumpul mayat mangsa masih diteruskan, dengan kebanyakan mangsa tiba di hospital dalam keadaan hancur, katanya kepada AFP.
Namun, angka rasmi korban bagi serangan itu belum disahkan oleh agensi pertahanan awam atau Kementerian Kesihatan di Gaza.
"Tidak ada ambulans, sistem kesihatan di utara Gaza telah runtuh sepenuhnya," tambah Hossam
Sementara itu, agensi pertahanan awam Gaza mengesahkan 22 orang maut dalam serangan berasingan di kawasan kejiranan Sheikh Radwan, Gaza City, selepas sebuah rumah menjadi sasaran serangan.
Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan jumlah korban perang sejak 7 Oktober 2023 telah mencapai 43,985 orang, kebanyakannya adalah orang awam. -AFP