
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Peningkatan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid mampu meringankan beban kewangan ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.
- Peruntukan RM2 bilion untuk baik pulih dan penyelenggaraan sekolah menekankan keprihatinan terhadap keselamatan dan keselesaan murid.
- Pertambahan peruntukan Kementerian Pendidikan kepada RM69 bilion mencerminkan komitmen berterusan kerajaan memperkukuh sektor pendidikan.
- Pelaburan dalam pendidikan dilihat sebagai langkah strategik untuk meningkatkan kualiti pembelajaran dan membangunkan modal insan berpotensi tinggi.
- Fokus lawatan dan tinjauan Perdana Menteri menyorot sekolah daif yang memerlukan penambahbaikan demi persekitaran pembelajaran kondusif.
Penolong Naib Canselor (Keusahawanan), Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Profesor Madya Dr. Badrul Isa berkata, peningkatan bantuan itu memberi kelegaan kepada keluarga, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.
Sementara itu, komitmen kerajaan meningkatkan peruntukan bagi kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan sekolah kepada RM2 bilion turut mencerminkan keprihatinan terhadap aspek keselesaan dan keselamatan murid.
“Peruntukan penyelenggaraan dan baik pulih sekolah sekali lagi diberikan perhatian oleh Perdana Menteri. Menerusi lawatan dan tinjauan turun padang, beliau mendapati masih terdapat sekolah daif yang memerlukan perhatian dan penambahbaikan.
“Dengan peruntukan yang besar ini, kita dapat memastikan persekitaran sekolah lebih kondusif dan paling penting, selamat untuk murid menimba ilmu,” katanya kepada pemberita RTM.
Mengulas lanjut, beliau berkata peningkatan peruntukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada RM69 bilion menerusi Belanjawan 2027 memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh sektor pendidikan sebagai asas pembangunan negara.
Katanya, pelaburan dalam pendidikan merupakan langkah strategik bagi meningkatkan kualiti pembelajaran, selain membangunkan modal insan berpotensi tinggi untuk memenuhi keperluan negara pada masa hadapan.
“Apabila kita melabur dalam sesuatu sektor, khususnya pendidikan, sebenarnya kita sedang melabur untuk merancang dan membina masa depan Malaysia yang lebih gemilang,” katanya.