
KUALA LUMPUR 9 Oktober – Peruntukan lebih RM130 juta bagi industri filem, muzik dan kandungan kreatif dalam Belanjawan 2027 dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta memperluas pasaran karya tempatan ke peringkat antarabangsa.
- FINAS sambut baik pengecualian penuh duti hiburan untuk filem tempatan dan persembahan teater di Wilayah Persekutuan mulai 2027.
- Penerusan insentif FIMI bagi produksi tempatan dan antarabangsa, termasuk animasi, dijangka menggalakkan penggambaran di Malaysia.
- Program animasi baharu mensasarkan membawa lebih daripada 20 IP tempatan ke pasaran antarabangsa dan menjadikan Malaysia hab animasi serantau.
- Penggiat seni memberi reaksi positif kerana langkah itu bantu menjana pendapatan dan memastikan kelangsungan kerjaya industri hiburan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, inisiatif berkenaan bukan sahaja berpotensi merancakkan aktiviti ekonomi menerusi kehadiran produksi antarabangsa, malah membuka peluang pekerjaan kepada tenaga kerja tempatan dalam pelbagai bidang industri perfileman.
“Antara inisiatif baru adalah seperti pengumuman pengecualian sepenuhnya, iaitu duti hiburan terhadap filem-filem tempatan dan juga persembahan teater di Wilayah Persekutuan mulai 2027. Ia merupakan satu berita positif bagi merancakkan industri kreatif ini,
“Juga, antara program baru adalah tentang program animasi, di mana kita akan membawa lebih daripada 20 IPIP tempatan ke luar negara dan menjadikan Malaysia bukan setakat sebagai hab ASEAN, tetapi sebagai hab Asia dan terunggul di serantau dunia,”katanya ketika dihubungi RTM.
FINAS juga menyambut baik pengumuman yang merangkumi penerusan insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) bagi produksi filem tempatan dan antarabangsa, termasuk animasi, yang menjalankan penggambaran di Malaysia.
Sementara itu, pengumuman pengecualian penuh duti hiburan bagi tayangan filem tempatan dan persembahan teater di Wilayah Persekutuan bermula 2027 turut menerima reaksi positif penggiat industri seni.
Pengarah dan pelakon Datuk Afdlin Shauki menyifatkan langkah itu sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap keperluan industri hiburan, khususnya dalam membantu penggiat seni menjana pendapatan dan meneruskan kelangsungan kerjaya.
“Akhirnya ada orang yang peka dengan industri kami, industri hiburan, mengambil kisah tentang bagaimana kita akan menjana pendapatan dan meneruskan lagi kehidupan kami.
“Walaupun RM10 juta itu dah berkurangan tidak menjadi masalah kerana kekurangan pengurangan itu dapat dikawal dengan tiada pengenaan cukai,”katanya.
Datuk Afdlin turut menyambut baik seruan supaya kerajaan negeri mempertimbangkan langkah sama bagi menyokong industri filem dan teater tempatan.
Dalam perkembangan berkaitan, FINAS turut menyokong usaha memperkukuh ekosistem animasi tempatan, termasuk sasaran menghasilkan 20 harta intelek baharu serta mengkomersialkan watak dan karya Malaysia di pasaran antarabangsa.
Usaha itu penting untuk meningkatkan daya saing kandungan kreatif tempatan dan memperluas kedudukan Malaysia sebagai hab animasi serantau yang mampu menembusi pasaran global.