
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Ambang bankrap dinaikkan kepada RM150,000 mulai 2027, sebagai kelangsungan usaha kerajaan dalam membantu rakyat untuk keluar dari belenggu bankrap.
- Lebih 250,000 individu berjaya dibantu sejak 2023 melalui inisiatif kerajaan.
- Perluasan Dasar Peluang Kedua Prihatin untuk penjaga OKU, pesakit kronik, warga emas, pekerja gig dan pendapatan tidak tetap.
- Pelepasan automatik daripada kebankrapan selepas seawal tiga tahun, tertakluk kepada syarat Seksyen 33C Akta Insolvensi 1967.
- Reformasi perundangan dicadang termasuk suruhanjaya reformasi undang-undang, hadkan tempoh Perdana Menteri dan asingkan peranan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, lebih 250,000 individu berjaya dibantu sejak 2023.
“Antara inisiatif lain diperluas ialah Dasar Peluang Kedua Prihatin kepada penjaga utama ahli keluarga Orang Kurang Upaya, pesakit kronik, warga emas, pekerja gig dan individu berpendapatan tidak tetap,” katanya.
Kerajaan juga katanya, akan memperkasa pelepasan automatik daripada kebankrapan seawal tiga tahun, tertakluk kepada syarat di bawah Seksyen 33C Akta Insolvensi 1967.
Dalam pada itu, mengenai reformasi institusi, Datuk Seri Azalina menyambut baik komitmen kerajaan meneliti cadangan penubuhan Suruhanjaya Reformasi Undang-Undang Malaysia bagi memodenkan perundangan serta menangani undang-undang lapuk.
“Kerajaan meneruskan reformasi termasuk usaha menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri dan mengasingkan peranan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya dengan menghormati proses demokrasi berparlimen,” katanya lagi.
Mengulas mengenai Belanjawan 2027, beliau berkata belanjawan kali ini bukan sekadar memperkukuh institusi malah, membawa manfaat nyata kepada rakyat.