
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Tawaran lebih 9,000 jawatan tetap kepada doktor kontrak menerusi Belanjawan 2027 disifatkan sebagai langkah tepat bagi mengekalkan tenaga kerja perubatan dalam sektor awam, selain memberikan jaminan kerjaya lebih baik kepada golongan berkenaan.
- Tawaran jawatan tetap kepada doktor kontrak dialu-alukan untuk mengekalkan tenaga perubatan dan memberikan jaminan kerjaya.
- Kenaikan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kesihatan Udara daripada RM30 kepada RM100 disambut baik selepas lebih 20 tahun tidak disemak.
- Kenaikan Insentif Pos Basik daripada RM100 kepada RM200 sebulan meningkatkan kompetensi jururawat dan penolong pegawai perubatan.
- Peningkatan peruntukan Kementerian Kesihatan sebanyak RM1.2 bilion menunjukkan komitmen kerajaan memperkukuh sektor kesihatan.
Pensyarah Utama Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, inisiatif itu amat dialu-alukan bagi mengelakkan doktor kontrak meletakkan jawatan.
“Ini amat dialu-alukan untuk mengelakkan doktor-doktor kontrak ini meletakkan jawatan dan ini adalah salah satu insentif yang amat dialu-alukan.
“Lagipun, kita mahu mencapai status negara maju, yang mana norma penjawatan seorang doktor adalah bagi setiap 250 hingga 350 penduduk,” katanya kepada pemberita RTM.
Beliau turut menyambut baik langkah kerajaan menaikkan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kesihatan Udara daripada RM30 kepada RM100, memandangkan kadar elaun itu tidak disemak semula sejak lebih 20 tahun lalu.
Mengulas lanjut, Datuk Dr Khalid berkata, kenaikan Insentif Pos Basik daripada RM100 kepada RM200 sebulan juga merupakan usaha positif untuk meningkatkan kompetensi petugas kesihatan bersekutu, termasuk jururawat dan penolong pegawai perubatan yang mengikuti kursus berkenaan.
“Langkah ini amat bertepatan bagi memastikan pemberian perkhidmatan yang komprehensif dan cekap oleh kakitangan yang berkelayakan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, peningkatan peruntukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) daripada RM46.5 bilion pada 2026 kepada RM47.7 bilion pada 2027 mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh sektor kesihatan negara.
“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM1.2 bilion. Ia amat dialu-alukan memandangkan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini, kerajaan masih mampu meningkatkan peruntukan kepada Kementerian Kesihatan sebanyak RM1.2 bilion,” katanya.