fb fb fb fb fb

Pendedahan haba melampau semakin meningkat untuk jutaan kanak-kanak - UNICEF

Hampir setengah bilion kanak-kanak menghadapi dua kali lebih banyak hari kepanasan melampau setiap tahun / Foto Hiasan

NEW YORK, 14 Ogos - Hampir setengah bilion kanak-kanak menghadapi dua kali lebih banyak hari kepanasan melampau setiap tahun, kata Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran tentang akibat yang boleh membawa maut.

Memandangkan perubahan iklim terus meningkatkan suhu di seluruh dunia, satu daripada lima kanak-kanak, iaitu kira-kira 466 juta kanak-kanak menetap di kawasan yang mencatatkan "sekurang-kurangnya dua kali ganda bilangan hari yang sangat panas setiap tahun" berbanding 60 tahun yang lalu, lapor agensi kanak-kanak PBB, UNICEF.

"Kanak-kanak kecil tidak seperti orang dewasa, mereka lebih terdedah kepada kepanasan melampau," kata Ketua Advokasi UNICEF, Lily Caprani yang turut memberi amaran tentang bahaya kepanasan kepada wanita hamil.

Di samping itu, kanak-kanak turut keciciran dalam pendidikan ekoran sekolah terpaksa ditutup kerana suhu tinggi, yang telah menjejaskan sekurang-kurangnya 80 juta kanak-kanak setakat ini.

UNICEF menggunakan hari yang mencecah 95 darjah Fahrenheit (35 darjah Celsius) sebagai penanda arasnya, membandingkan purata suhu dalam tempoh 2020–2024 hingga 1960-an.

Hari-hari panas seperti itu, serta cara untuk menghadapi suhu tinggi, seperti penyaman udara, memberi kesan kepada seluruh dunia, katanya.

Kanak-kanak di Afrika Barat dan Tengah adalah yang paling terdedah, dengan 123 juta kanak-kanak, 39 peratus daripada kanak-kanak di rantau ini menghadapi satu pertiga daripada setiap tahun dengan 95 darjah hari atau lebih tinggi.

Di seluruh dunia, "trajektori menjadi semakin teruk untuk kanak-kanak ini," kata Caprani.

Mereka lebih terdedah kepada tekanan haba, dan ia boleh membawa maut secara literal," tambahnya.

Suhu yang tinggi boleh menyumbang kepada kekurangan zat makanan dan menyebabkan kanak-kanak lebih terdedah kepada penyakit, terutamanya malaria dan denggi, yang merebak di kawasan beriklim panas.

Haba yang berlebihan juga boleh menjejaskan perkembangan saraf dan kesihatan mental secara negatif.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN