fb fb fb fb fb

Arab Saudi lancar program residensi baharu tarik bakat asing

Foto Reuters

DUBAI, 11 Januari - Arab Saudi pada Khamis melancarkan program residensi baharu bertujuan untuk menarik tenaga kerja profesional serta pelaburan ketika negara Teluk itu meneruskan rancangannya untuk memaksi ekonominya kepada bahan api fosil.

Arab Saudi menerusi satu kenyataan memaklumkan inisiatif itu bertujuan untuk memacu transformasi ekonomi negara dengan mewujudkan peluang pekerjaan dan memupuk pemindahan ilmu.

Lima program premium baharu itu antara lain memenuhi keperluan profesional dalam penjagaan kesihatan, sukan dan hartanah.

Peserta akan ditawarkan untuk menetap di Arab Saudi, menjalankan perniagaan, memiliki hartanah dan mendapatkan permit kerja bagi pemegang dan ahli keluarga.

Langkah itu adalah sebahagian daripada rancangan transformasi ekonomi Wawasan 2030 Putera Mahkota Mohammed bin Salman untuk mengurangkan kebergantungan ekonomi Arab Saudi kepada minyak, yang menarik berbilion-bilion pelaburan langsung asing.

Ia juga berlaku di tengah-tengah persaingan ekonomi yang semakin meningkat dengan negara jiran Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menjadi hab perdagangan dan perniagaan rantau itu.

Pihak berkuasa UAE sejak kebelakangan ini telah memperkenalkan insentif seperti sistem 'visa emas', manakala Dubai melancarkan 'pusat kekayaan keluarga' tahun lepas untuk membantu individu dan ahli perniagaan menangani isu budaya dan tadbir urus.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN