
NEW YORK, 22 September – Amerika Syarikat (AS) sedia mengadakan perbincangan dengan Iran semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) sekiranya dialog berkenaan mampu membuahkan hasil positif, terutamanya dalam memastikan Tehran tidak memiliki senjata nuklear.
- Setiausaha Negara Marco Rubio mengesahkan tiada pertemuan rasmi dijadualkan, walaupun AS terbuka kepada perbincangan.
- Presiden Iran Masoud Pezeshkian tiba untuk UNGA; pegawai tertinggi Iran pertama di AS sejak perang bermula.
- Konflik tertumpu pada Selat Hormuz; Iran menyekat laluan dan AS mengenakan sekatan serta meningkatkan tekanan ekonomi.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata demikian dalam satu wawancara bersama NBC, sambil mengesahkan bahawa tiada sebarang pertemuan rasmi yang dijadualkan setakat ini.
“Kami terbuka untuk mengadakan perbincangan. Saya rasa tiada apa-apa yang dijadualkan buat masa ini, tetapi kami bersedia untuk sebarang kemungkinan,” katanya.
Kenyataan Rubio itu dikeluarkan sejurus sebelum Presiden AS Donald Trump dijadualkan berucap pada perhimpunan berkenaan.
Trump sebelum ini turut menyatakan keterbukaan untuk berunding dengan Tehran.
Dalam pada itu, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian tiba pada Selasa untuk menghadiri UNGA dan dijadualkan menyampaikan ucapan pada Rabu.
Pezeshkian merupakan pegawai tertinggi Iran yang pertama menjejakkan kaki di bumi AS sejak perang di Asia Barat tercetus pada lewat Februari lalu berikutan serangan AS dan Israel ke atas Iran.
Bagaimanapun, pertemuan tahap tinggi antara kedua-dua presiden sukar berlaku memandangkan Trump dijangka meninggalkan New York pada Rabu untuk pulang ke Washington bagi mengendalikan sidang kemuncak bersama Presiden China, Xi Jinping.
Tehran menuntut agar pencerobohan dan peperangan di rantau itu dihentikan segera, selain menggesa sekatan ke atas pelabuhannya ditamatkan.
Konflik antara Washington dan Tehran kini berpusat pada isu pembukaan semula Selat Hormuz, yang merupakan laluan kritikal bagi transit tenaga dunia.
Iran bertindak menyekat laluan selat berkenaan sejak awal konflik, manakala AS mengenakan sekatan balas ke atas pelabuhan-pelabuhan Iran di samping mempertingkatkan tekanan ekonomi ke atas negara itu. -AFP