Datuk Ab Ghani harap Belanjawan 2027 pertimbang bantuan tetap untuk badan sukan

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan/ BERNAMA

KELANA JAYA, 22 September – Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan berharap Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan pada 9 Oktober depan dapat memberi perhatian kepada keperluan badan-badan sukan di negara ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlunya bantuan tetap kepada badan sukan bagi memudahkan perancangan pembangunan dan pengurusan aktiviti sukan.
  • Sokongan tidak seharusnya terhad kepada bola sepak atau FAM sahaja.
  • Kerajaan telah memberi bantuan tetapi peruntukan tetap diperlukan untuk perancangan kewangan jangka panjang.
  • Ab Ghani merancang kunjungan hormat kepada Menteri Belia dan Sukan untuk perbincangan rasmi.

Antara perkara yang diharapkan ialah penyediaan bantuan secara tetap kepada badan sukan bagi memudahkan perancangan pembangunan serta pengurusan aktiviti sukan.

Sokongan berkenaan tidak seharusnya terhad kepada bola sepak dan FAM sahaja, sebaliknya turut merangkumi badan-badan sukan lain.

“Bukan kerajaan tidak membantu, tetapi sekurang-kurangnya jika ada bantuan yang tetap, lebih mudah untuk kita merancang dan mengurus kewangan berdasarkan peruntukan yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Sambutan FAM 100 Tahun di Arena Futsal FAM, Kelana Jaya, di sini.

Menurut Datuk Ab Ghani kerajaan sememangnya telah memberikan bantuan kepada badan sukan, namun bantuan secara tetap akan memudahkan perancangan jangka panjang.

Sehubungan itu, Ab Ghani berharap perkara berkenaan dapat dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027 oleh Menteri Kewangan dan Perdana Menteri serta Menteri Belia dan Sukan.

Bagaimanapun, perkara itu belum disampaikan secara rasmi kepada pihak kerajaan dan beliau merancang mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Belia dan Sukan Dr Taufiq Johari dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara berkaitan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.