Tan Sri Darshan terima anugerah Presiden ACC 2026

Tan Sri Darshan (tengah) menerima anugerah Presiden ACC 2026 di Riyadh. Foto/ACC

RIYADH, 13 Februari – Bekas Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC), Tan Sri Darshan Singh Gill menerima Anugerah Presiden ACC 2026 yang merupakan anugerah tertinggi daripada badan induk berbasikal Asia tersebut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tan Sri Darshan Singh Gill menerima Anugerah Presiden ACC 2026, penghormatan tertinggi badan berbasikal Asia.
  • Anugerah disampaikan oleh Presiden ACC Datuk Amarjit Singh Gill di Kongres ACC ke-33 di Riyadh.
  • Tan Sri Darshan diiktiraf atas khidmat sejak 1976 dan sebagai pengasas ACC yang ditubuhkan pada 1993.
  • Majlis disaksikan Presiden UCI David Lappartient; penerima anugerah lain termasuk Osama Al-Shafar dan Tun Dr Mahathir.

Anugerah berkenaan disampaikan sendiri oleh Presiden ACC, Datuk Amarjit Singh Gill pada Kongress ACC ke-33 yang diadakan di sebuah hotel ternama di Riyadh, Arab Saudi.

Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), David Lappartient turut menyaksikan majlis anugerah tersebut dimana sejumlah 29 negara (NF) menghadiri Kongres ACC ke-33 .

Datuk Amarjit yang juga Naib Presiden UCI menjelaskan, Tan Sri Darshan menjadi penerima anugerah kali pertama berdasarkan khidmat bakti yang diberikannya kepada sukan berbasikal di peringkat Dunia, Asia, rantau Asia Tenggara dan di Malaysia sendiri sejak 1976.

Tan Sri Darshan merupakan pengasas ACC yang ditubuhkan pada 31 Mac 1993 di Ipoh.

“Selama 8 tahun menjadi Presiden ACC, Tan Sri Darshan terlalu banyak menabur bakti dan sangat berjasa kepada sukan berbasikal Asia. ACC juga diasas dan ditubuhkan oleh Tan Sri Darshan Singh. Oleh itu, hari ini ACC memberikan penghormatan istimewa kepada Tan Sri Darshan Singh.

“Saya juga sangat berbesar hati kerana Presiden UCI yang juga Ahli IOC berada di sini untuk menyaksikan majlis penganugerahan Anugerah Presiden ACC kepada Tan Sri Darshan Singh,” katanya dalam kenyataan.

Seorang lagi penerima Anugerah Presiden ACC 2026 ialah bekas Presiden ACC, Osama Al-Shafar dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohammad juga antara penerima anugerah Merit UCI.

Kongres ACC ke-33 turut memberikan Merit ACC kepada bekas Setiausaha Agung ACC dari India, Onkar Singh, juara dunia dari Hong Kong, Sarah Lee Wai Sze dan bekas Atlet Olimpik Berbasikal Mansoor Bousaiba dari UAE

Sementara itu, Tan Sri Darshan mengakui gembira dan terharu kerana diberi penghargaan daripada ACC

“Sebenarnya saya tidak pernah berhenti daripada berkhidmat untuk sukan berbasikal. Saya sentiasa berusaha dan berbakti untuk sukan berbasikal di seluruh Asia dan Malaysia” katanya.