Sukan Sea KL: PSM lantik konsultan untuk perkuat skuad wanita

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan ketika ditemui media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bil 1/2026 – Sepaktakraw di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Mac– Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bakal melantik seorang konsultan dari Thailand secara sepenuh masa bagi memperkuatkan skuad wanita negara sebagai persediaan menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • PSM akan lantik konsultan Thailand sepenuh masa untuk perkuatkan skuad wanita bagi persiapan Sukan SEA Kuala Lumpur.
  • Konsultan bertanggungjawab bantu semua pemain dan jurulatih dari segi kemahiran serta taktikal, bukan hanya posisi tertentu.
  • Proses pelantikan dijangka selesai selewat-lewatnya bulan hadapan dengan beberapa calon sudah dikenal pasti.

Presiden PSM Datuk Mohd Sumali Reduan berkata perunding berkenaan akan membantu barisan jurulatih sedia ada terutama dari aspek kemahiran dan taktikal.

“Fokus kita adalah untuk Sukan SEA Kuala Lumpur tahun depan sebab kita tuan rumah. Sebab itu kita ambil dari sekarang.

“Dia (konsultan) tidak fokus kepada tekong atau perejam sahaja tetapi kepada semua pemain supaya peningkatan dapat dilakukan secara segera dan mereka mampu bersaing dengan lebih baik,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil di sini hari ini.

Mohd Sumali berkata proses pelantikan tersebut diharap dapat diselesaikan selewat-lewatnya bulan hadapan.

Beliau berkata ketika ini beberapa calon sudah dikenal pasti dan akan dipanggil bagi menghadiri sesi temu duga yang dijadual berlangsung dalam masa terdekat.

“Kalau dapat (selesai) dalam masa sebulan dari sekarang, lagi cepat lagi bagus,” katanya.- BERNAMA