Sukan Asia 2026: Tiada Soh Wooi Yik, BAM susun strategi

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak menyenaraikan Soh Wooi Yik dalam skuad negara ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bukan sesuatu yang luar biasa, sebaliknya sebahagian daripada proses penilaian dan perancangan jangka panjang badan induk itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • BAM menyusun strategi jangka panjang bagi membentuk beregu lelaki lebih kompetitif sebagai persiapan Olimpik Los Angeles 2028.
  • Percubaan gandingan baharu termasuk pemain berpengalaman untuk mencari gabungan terbaik yang mampu mengukuhkan cabaran antarabangsa.
  • Sukan Asia digunakan sebagai platform penilaian pemain dan pelapis; pemain perlu kejelasan hala tuju bagi persediaan kelayakan Olimpik 2027.

Pemerhati sukan, Mohd Sadek Mustaffa berkata, langkah berkenaan selari dengan strategi BAM untuk membentuk barisan beregu lelaki yang lebih kompetitif sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Menurutnya, percubaan beberapa kombinasi baharu dalam beregu lelaki negara penting bagi membolehkan BAM mengenal pasti gandingan terbaik yang mampu memperkukuh cabaran Malaysia di pentas antarabangsa.

“Saya melihat perkara ini juga sebagai sebahagian daripada usaha BAM untuk memberikan fokus yang lebih serius kepada pemain badminton di bawah naungannya dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pemain negara.

“Bagi saya, penyertaan gandingan Aaron Chia-Tee Kai Wun dalam barisan pemain yang akan mewakili negara ke Sukan Asia di Jepun turut memberikan gambaran bahawa BAM sedang merangka pelan jangka panjang bagi membawa kelainan kepada barisan beregu lelaki negara,” katanya ketika dihubungi RTM, hari ini.

Beliau berkata, percubaan gandingan baharu yang membabitkan pemain berpengalaman juga sebahagian daripada usaha BAM mencari formula terbaik dalam misi memburu pingat emas Olimpik pertama negara di Los Angeles.

Bagaimanapun, Mohd Sadek berkata, hasrat Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk terus bergandingan dan memburu tiket ke Olimpik 2028 perlu turut diberikan perhatian.

Katanya, kedua-dua pihak perlu mempunyai kejelasan mengenai hala tuju masing-masing supaya pemain dapat merancang perjalanan karier, termasuk usaha mengumpul mata kelayakan Olimpik yang dijangka bermula pada 2027.

Mengulas peluang Malaysia dalam acara beregu lelaki pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, beliau berkata, peluang memburu emas masih terbuka, namun cabaran yang menanti bukan mudah.

Menurutnya, Malaysia perlu berdepan kuasa besar badminton Asia seperti China, Jepun, Korea Selatan, Indonesia dan India yang masing-masing memiliki gandingan bertaraf dunia.

Justeru, beliau menyifatkan Sukan Asia bukan sekadar medan memburu pingat, malah platform penting untuk BAM menilai kemampuan pemain utama dan pelapis dalam usaha membentuk barisan beregu lelaki yang lebih ampuh.

Perancangan itu dilihat penting bagi memastikan Malaysia hadir dengan gandingan terbaik apabila saingan kelayakan Olimpik 2028 bermula, sekali gus merealisasikan impian memburu emas Olimpik pertama negara dalam badminton.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.