PKBM lancar Liga Super BMX, pastikan laluan atlet terus terbuka

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengambil langkah proaktif memperkenalkan Liga Super Perlumbaan BMX bagi memastikan kesinambungan pembangunan acara lumba BMX negara selepas Yayasan Sime Darby (YSD) menamatkan kerjasama dan penganjuran Siri Berbasikal Trek dan BMX YSD 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • PKBM menghargai sumbangan YSD namun akan terus bangunkan atlet tanpa bergantung kepada mana-mana individu atau organisasi tertentu.
  • PKBM akan memperkukuh pembangunan berbasikal trek melalui program Berbasikal Remaja Malaysia (JCM) bersama Majlis Sukan Negara.
  • PKBM yakin kesinambungan program dan pertandingan tersusun mampu memastikan bakat muda terus berkembang serta mempunyai laluan jelas ke peringkat lebih tinggi.

Sebagai permulaan, dua pusingan pertama liga berkenaan dijadual berlangsung pada 28 dan 29 November ini, sebelum diperluaskan pada 2027.

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill, berkata inisiatif itu penting bagi memastikan atlet BMX tempatan terus mempunyai platform pertandingan, selain laluan pembangunan yang lebih tersusun.

Beliau berkata keputusan YSD menamatkan kerjasama berkenaan sememangnya mendukacitakan, terutama apabila PKBM berpandangan isu yang timbul masih boleh diselesaikan menerusi perbincangan di peringkat kepimpinan YSD.

Menurutnya, PKBM hanya dimaklumkan mengenai insiden yang mencetuskan isu berkenaan pada penghujung Mac 2026.

“Susulan itu, PKBM mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak berkaitan serta memberikan tempoh dan ruang sewajarnya bagi membolehkan perkara itu ditangani dengan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amarjit berkata PKBM tetap mengiktiraf dan menghargai segala sumbangan YSD terhadap pembangunan sukan berbasikal di Malaysia selama ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga Presiden Konfederasi Berbasikal Asia menegaskan usaha membangunkan atlet akan diteruskan tanpa bergantung kepada mana-mana individu atau organisasi tertentu.

Katanya, meskipun bentuk kerjasama dan pelaksanaan program mungkin berubah dari semasa ke semasa, PKBM kekal komited melaksanakan tanggungjawab sebagai badan induk kebangsaan bagi memperkasa pembangunan sukan berbasikal serta menyediakan peluang sewajarnya kepada atlet.

Bagi acara berbasikal trek pula, PKBM akan meneruskan usaha memperkukuh sistem pembangunan sedia ada, termasuk menerusi program Berbasikal Remaja Malaysia (JCM) yang dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN).

Program itu menjadi antara platform penting dalam mengenal pasti bakat baharu serta membentuk pelumba trek muda dengan asas kukuh untuk meneruskan perjalanan dalam sukan berkenaan.

PKBM yakin kesinambungan program pembangunan dan pertandingan yang tersusun mampu memastikan bakat muda BMX dan berbasikal trek negara terus berkembang serta mempunyai laluan jelas ke peringkat lebih tinggi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.