
KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Sasaran dua pingat emas yang diletakkan terhadap skuad sepak takraw negara pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 menjadi cabaran kepada Chief De Mission (CDM) negara, Datuk Mohd Sumali Reduan untuk direalisasikan.
- Kejayaan juara Piala Dunia 2026 regu memberi keyakinan tinggi kepada skuad negara.
- Pemain kini dalam prestasi terbaik, menunjukkan komitmen serta ketahanan mental yang kukuh.
- Cabaran sengit dari Thailand dan Indonesia; Malaysia bertekad menamatkan lebih 30 tahun penantian emas acara regu.
Beliau yang juga Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) berkata peluang untuk skuad negara meraih pingat emas pada temasya itu dilihat cerah susulan beberapa aksi memberangsangkan yang ditunjukkan pasukan negara terutamanya selepas muncul juara Piala Dunia Sepak Takraw 2026 pada acara regu.
“Sudah tentulah ia memberi tekanan kepada diri saya untuk memastikan saya sebagai CDM dapat menyumbang dua pingat emas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa lawatannya ke sesi latihan skuad sepak takraw negara di Akademi Sepak Takraw Malaysia di sini, hari ini.
Malaysia akan menyertai dua acara dalam sepak takraw di temasya berkenaan, iaitu berpasukan dan regu.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas persiapan skuad sepak takraw negara dan menyifatkan para pemain kini berada dalam prestasi terbaik selain menunjukkan komitmen serta ketahanan mental yang jitu.
Menurutnya, sasaran dua emas itu turut didorong keinginan untuk menamatkan penantian Malaysia kembali meraih emas Sukan Asia dalam acara regu.
“Sudah lebih 30 tahun kita menantikan pingat emas dalam Sukan Asia. Kali terakhir Malaysia meraih emas adalah menerusi acara regu di Palembang,” katanya.
Beliau berkata cabaran pada edisi kali ini bagaimanapun lebih sengit dengan Thailand dan Indonesia dilihat antara pencabar utama, selain beberapa negara lain yang menunjukkan peningkatan dalam sukan berkenaan.
Sementara itu, pemain sepak takraw kebangsaan Farhan Ahmad mengakui Sukan Asia Aichi-Nagoya mungkin menjadi penampilan terakhirnya, sekali gus mahu memanfaatkan peluang kali ini untuk memburu pingat emas yang diidamkannya.
“Pastinya Sukan Asia diadakan empat tahun sekali. Jadi, untuk menunggu empat tahun lagi, saya rasa saya mungkin tidak mampu untuk menghadapinya. Sebab itu fokus saya adalah kepada Sukan Asia kali ini”
“Insya-Allah, apabila berjaya meraih pingat emas, saya rasa saya tidak perlu menunggu sehingga Sukan Asia yang seterusnya.
Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dijadual berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober, dengan sepak takraw menjadi antara sandaran utama Malaysia untuk pingat emas.