KRW FC enggan jadi pelengkap jadual berdepan JDT

Ketua jurulatih KRW FC Irfan Bakti Abu Salim / BERNAMA

KOTA BHARU, 26 Ogos – Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) enggan sekadar menjadi pelengkap jadual apabila berdepan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • Irfan Bakti mahu pemain turun dengan keberanian, disiplin dan semangat juang tinggi meskipun jurang kekuatan wujud.
  • JDT memiliki kelebihan lima hingga tujuh pemain import, manakala KRW hanya menggunakan dua pemain import.
  • Kekurangan import bukan alasan; pemain mesti patuhi taktikal, pertahankan setiap inci padang dan jangan mudah menyerah.
  • Mereka perlu belajar dari kekalahan besar lalu, beraksi untuk penyokong dan negeri serta buktikan pasukan tidak mudah dijatuhkan.

Ketua jurulatih KRW FC Irfan Bakti Abu Salim berkata anak buahnya perlu turun dengan keberanian, disiplin dan semangat juang tinggi meskipun menyedari jurang kekuatan antara kedua-dua pasukan, khususnya dari segi pemain import.

Beliau berkata secara realitinya JDT mempunyai kelebihan dengan dibarisi antara lima hingga tujuh pemain import, berbanding KRW FC yang hanya menggunakan dua pemain import.

“Walaupun berdepan kekurangan pemain import terutama di posisi penyerang dan pertahanan, pemain tidak boleh menjadikannya sebagai alasan, sebaliknya perlu turun dengan semangat dan motivasi tinggi.

“Kami sedar JDT adalah pasukan yang sangat kuat, tetapi itu tidak bermakna kita akan turun dengan sikap menyerah kalah. Kami tidak mahu menjadi pasukan belasahan dan setiap inci padang akan kami pertahankan,” katanya kepada Bernama.

Irfan Bakti mengakui cabaran besar menanti pasukannya apabila beraksi di gelanggang lawan, terutama dalam usaha mencipta peluang menjaringkan gol dan memburu kemenangan pada perlawanan kedua Liga Super musim ini.

Beliau berkata pemain perlu mengekalkan disiplin serta semangat juang sepanjang perlawanan, selain mengambil iktibar daripada pengalaman kekalahan besar sebelum ini bagi mengelakkan perkara sama berulang.

“Kami mungkin tidak mempunyai cukup pemain import dan tiada pilihan selain menggunakan pemain sedia ada. Apa yang penting ialah semangat juang mereka,” katanya.

Beliau berkata pemain turut diingatkan supaya mematuhi taktikal yang dirangka bagi menutup ruang JDT dan mengelakkan gawang KRW FC daripada mudah dibolosi.

“Kami bermain untuk penyokong, negeri dan nama Kelantan. Malam esok, kami akan buktikan bahawa pasukan ini tidak mudah dijatuhkan,” katanya. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.