132 atlet SUKMA dikenal pasti untuk persediaan Sukan SEA 2027

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 OgosSeramai 132 atlet SUKMA dikenal pasti berpotensi untuk dipertimbangkan mewakili negara ke Sukan SEA 2027 berdasarkan prestasi cemerlang ditampilkan pada temasya berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • SUKMA XXII Selangor 2026 jadi platform penting KBS dan MSN untuk kenal pasti bakat baharu serta pengisian barisan atlet prestasi tinggi negara.
  • Atlet akan terus dipantau berdasarkan prestasi, konsistensi, kecergasan, status kecederaan, pencapaian kebangsaan dan antarabangsa serta keperluan acara.
  • MSN menyumbang banyak pingat dan rekod; 372 atlet program beraksi, 373 pingat, 37 rekod SUKMA termasuk olahraga, memanah dan renang.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata jumlah itu membabitkan 59 atlet lelaki dan 73 wanita yang dikenal pasti menerusi penilaian awal sepanjang temasya yang berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos lalu.

“Atlet-atlet ini akan terus dipantau dan dinilai berdasarkan prestasi semasa, konsistensi, kecergasan, status kecederaan, prestasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta keperluan setiap acara,” katanya dalam satu kenyataan.

Penilaian turut mengambil kira keperluan bagi setiap acara dalam membentuk barisan atlet yang berpotensi untuk diketengahkan ke temasya Sukan SEA 2027.

Ujar beliau, SUKMA XXII Selangor 2026 menjadi platform penting bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mengenal pasti bakat baharu yang berpotensi mengisi barisan atlet berprestasi tinggi negara.

Dalam pada itu, seramai 372 atlet daripada Program Podium, Pelapis dan Podium Berfasa MSN mengambil bahagian pada edisi kali ini, dengan menyumbang keseluruhan 373 pingat yang terdiri daripada 180 emas, 99 perak dan 94 gangsa.

Sebanyak 37 rekod baharu SUKMA turut dicatat pada temasya kali ini, dengan 14 daripadanya dipecahkan atlet di bawah program MSN, membabitkan enam rekod olahraga, tiga rekod memanah dan lima rekod renang.

Beliau turut memaklumkan pencapaian berkenaan membuktikan SUKMA terus memainkan peranan penting sebagai sebahagian daripada rantaian pembangunan sukan negara, bermula daripada pengenalpastian bakat sehingga ke program prestasi tinggi.

“Usaha memperkasakan SUKMA akan diteruskan dengan memberi tumpuan kepada pembangunan dan pengenalpastian bakat, pembangunan jurulatih, penggunaan data prestasi dan sains sukan serta laluan atlet ke program pembangunan kebangsaan”, katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.