
LONDON, 26 Ogos -Manchester United mengesahkan telah menandatangani pemain tengah Brighton & Hove Albion, Carlos Baleba dengan kontrak sehingga 2031, termasuk pilihan lanjutan setahun.
- Yuran awal dilaporkan £60 juta ditambah bayaran tambahan bergantung prestasi.
- Baleba menyifatkan perpindahan sebagai penghormatan besar dan beraksi di Old Trafford sentiasa istimewa.
- Pindah dari Lille ke Brighton pada 2023; 112 penampilan sepanjang tiga musim bersama kelab Liga Perdana Inggeris.
- Perpindahan ini sebahagian usaha United kukuhkan jentera tengah selepas dapatkan Tielemans dan Andrey Santos.
Butiran kewangan tidak didedahkan, namun sumber yang rapat dengan pasukan memaklumkan kelab Liga Perdana Inggeris itu membayar yuran awal £60 juta atau (AS$81.8 juta), tidak termasuk bayaran tambahan berdasarkan prestasi.
Pemain antarabangsa Cameroon berusia 22 tahun itu menyifatkan perpindahan berkenaan sebagai satu penghormatan dapat menyertai kelab impiannya.
“Perasaan menyertai kelab impian saya sukar digambarkan. Beraksi di Old Trafford sentiasa istimewa, namun peluang melakukannya sebagai pemain Manchester United adalah satu penghormatan besar,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menyertai Brighton daripada kelab Perancis, Lille pada 2023 dan membuat 112 penampilan dalam semua pertandingan sepanjang tiga musim bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu.
Musim lalu, Baleba beraksi dalam 31 perlawanan liga, selain terlepas sebahagian musim ketika mewakili Cameroon pada Piala Negara Afrika.
United sebelum ini dikaitkan dengan usaha mendapatkan Baleba selepas prestasi cemerlangnya musim lalu, namun laporan media Britain menyebut kelab itu tidak bersedia memenuhi penilaian £100 juta yang ditetapkan Brighton.
Perpindahan itu turut menjadi langkah terbaharu United dalam usaha memperkukuh jentera tengah selepas sebelum ini berjaya mendapatkan pemain Belgium, Youri Tielemans dan pemain Brazil, Andrey Santos. REUTERS