Sivasangari, Eain Yow lepasi halangan pertama TOC 2026 di New York

Pemain skuasy wanita negara S Sivasangari (kiri) / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Januari – Pemain skuasy wanita negara, S. Sivasangari, memulakan kempen dengan langkah kanan apabila mara ke pusingan kedua Tournament of Champions (ToC) 2026 yang berlangsung di New York, Amerika Syarikat, pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • S. Sivasangari mara ke pusingan kedua ToC 2026 di New York selepas menewaskan Georgia Adderley 3-0 dalam 28 minit.
  • Sivasangari dijadualkan berdepan pemain tuan rumah Amanda Sobhy di pusingan kedua.
  • Aifa dan Aira Azman tersingkir di pusingan pertama, tewas kepada Nele Gilis dan Marina Stefanoni masing-masing.
  • Ng Eain Yow juga melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan Curtis Malik, dan akan bertemu Mohamed El Shorbagy.

Turun selaku pilihan kelima kejohanan, Sivasangari menampilkan aksi meyakinkan untuk menewaskan wakil Scotland, Georgia Adderley, 11-8, 11-4, 11-4 dalam tempoh 28 minit.

Pada pusingan kedua, beliau dijadualkan bertemu pemain tuan rumah, Amanda Sobhy.

Sementara itu, dua lagi wakil negara, Aifa Azman dan Aira Azman masing-masing tersingkir di pusingan pertama kejohanan bertaraf Platinum itu.

Aifa tewas kepada pemain Belgium, Nele Gilis, 8-11, 3-11, 5-11, manakala Aira kecundang di tangan pemain Amerika Syarikat, Marina Stefanoni, 7-11, 8-11, 5-11.

Dalam kategori lelaki, Ng Eain Yow melepasi halangan pertama apabila menewaskan pemain England, Curtis Malik, 11-7, 11-3, 11-2.

Kemenangan itu menyaksikan beliau akan berdepan pilihan kelapan kejohanan yang juga wakil England, Mohamed El Shorbagy.- BERNAMA