Serena Williams kembali beraksi tanpa tekanan buru kemenangan

Foto AFP

LONDON, 8 Jun – Serena Williams tidak meletakkan sebarang tekanan ke atas dirinya menjelang kemunculan semula dalam sukan tenis profesional.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemenangan bukan keutamaannya; beliau tidak merancang kembali ke acara perseorangan buat masa ini.
  • Kemunculan semula akan menerusi acara beregu wanita di Kejohanan Kelab Queen bersama Victoria Mboko.
  • Proses kembali sukar tetapi beliau semakin selesa menyesuaikan diri, seperti menunggang basikal mendaki bukit.
  • Pasangan itu menerima slot wild card; Mboko anggap bergandingan dengan Serena satu penghormatan.

Bekas pemain tenis nombor satu dunia itu menegaskan kemenangan bukan keutamaannya ketika ini, selain tidak merancang untuk kembali beraksi dalam acara perseorangan buat masa ini.

Pemain berusia 44 tahun itu akan membuat kemunculan semula menerusi acara beregu wanita di Kejohanan Kelab Queen minggu ini bersama pemain muda Kanada, Victoria Mboko.

Menurut Williams, proses kembali ke gelanggang bukan sesuatu yang mudah, namun beliau semakin selesa menyesuaikan diri.

“Rasanya seperti menunggang basikal mendaki bukit, tetapi semakin lama semakin baik,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perubahan pendiriannya selepas menyatakan tidak akan kembali bermain tenis pada Disember lalu, Williams menyatakan keputusan tersebut dibuat secara spontan.

“Pada Disember, saya memang tidak bercadang untuk kembali. Tetapi saya terus memikirkannya dan akhirnya berkata, ‘Mengapa tidak?’,” katanya.

Williams dan Mboko, 19 tahun, menjalani sesi latihan pada Ahad sebagai persiapan menghadapi kejohanan berkenaan.

Pasangan itu menerima slot wild card untuk menyertai acara beregu di Kejohanan Kelab Queen, bertaraf WTA 500 yang berlangsung di London dari 8 hingga 14 Jun.

Williams tidak beraksi sejak penampilan terakhirnya di Terbuka US 2022.

Sepanjang kerjayanya, beliau memenangi 23 gelaran perseorangan Grand Slam serta 14 gelaran beregu Grand Slam bersama kakaknya, Venus Williams.

Sementara itu, Mboko menyifatkan peluang bergandingan dengan Serena sebagai satu penghormatan, malah mengakui legenda tenis Amerika Syarikat itu merupakan pemain idolanya sejak kecil. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.