Piala Dunia 2026: Iran mulakan latihan di Tijuana

Foto AFP

TIJUANA,8 Jun – Skuad bola sepak Iran memulakan latihan di kem pangkalan mereka di Tijuana, Mexico sebagai persiapan menghadapi kempen Piala Dunia 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasukan tiba di Tijuana selepas hampir tiga minggu menjalani latihan di Turkiye.
  • Iran dijadual bertemu New Zealand 15 Jun, Belgium 21 Jun dan Mesir 26 Jun di Los Angeles dan Seattle.
  • Isu visa memaksa perpindahan kem dari Arizona ke Tijuana; beberapa pegawai sokongan tidak mendapat visa, Persekutuan sifatkan layanan tidak adil.

Pasukan itu tiba di Tijuana pada Ahad selepas menjalani latihan hampir tiga minggu di Turkiye.

Pesawat membawa skuad Iran mendarat di bandar berhampiran sempadan Amerika Syarikat (AS) itu kira-kira pukul 5 pagi waktu tempatan sebelum mengadakan sesi latihan pertama sebagai persiapan menghadapi saingan Kumpulan G.

Iran dijadual memulakan kempen menentang New Zealand di Los Angeles pada 15 Jun, sebelum berdepan Belgium pada 21 Jun di venue sama sebelum menentang Mesir di Seattle pada 26 Jun.

Persiapan pasukan itu sebelum ini berdepan cabaran berkaitan isu visa memasuki AS hingga memaksa Persekutuan Bola Sepak Iran membuat keputusan memindahkan kem pangkalan pasukan dari Arizona, AS ke Tijuana pada saat akhir.

Walaupun semua pemain Iran menerima visa pada Jumaat, beberapa anggota pasukan sokongan termasuk pegawai pengurusan dan pentadbiran utama dilapor tidak diberikan visa.

Persekutuan Bola Sepak Iran menyifatkan keputusan tersebut sebagai layanan tidak adil terhadap pasukan kebangsaan mereka.

Kehadiran Iran ke Piala Dunia kali ini turut mendapat perhatian kerana berlangsung ketika hubungan antara Tehran dan Washington masih tegang susulan konflik berterusan di Asia Barat. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.