BAM akan singkir pemain jika terus langgar peraturan disiplin

Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap pemain kebangsaan yang terus melanggar peraturan disiplin, termasuk menyingkirkan mereka daripada skuad negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Disiplin adalah perkara nombor satu; ia asas kejayaan atlet dan tidak boleh dipandang ringan.
  • Datuk Seri Lee Chong Wei memberikan amaran terakhir kepada pemain seperti Leong Jun Hao atas isu disiplin.
  • Tengku Zafrul mengumumkan penguatkuasaan ketat termasuk kewajiban pemain belum berkahwin tinggal di asrama, kegagalan boleh dikenakan penggantungan.

Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei berkata, keputusan itu dicapai selepas perbincangan dibuat pihaknya bersama Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurut Chong Wei yang merupakan bekas pemain nombor satu dunia, disiplin merupakan asas utama kejayaan atlet dan tidak boleh dipandang ringan.

“Bagi saya dan jawatankuasa BAM, disiplin adalah perkara nombor satu. Ia sangat penting untuk atlet kita.

“Sebelum ini pada Terbuka Malaysia, saya sudah mengeluarkan kenyataan. Malah, saya juga telah memberikan amaran terakhir kepada pemain seperti Leong Jun Hao,” katanya selepas Mesyuarat Majlis BAM di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pertanyaan mengenai atlet berkenaan yang kini terpalit isu disiplin hingga menjejaskan fokus dan prestasinya ketika perlawanan.

Bagaimanapun, Chong Wei enggan memperincikan kesalahan khusus yang dilakukan pemain terbabit dan menyerahkan perkara itu kepada jurulatih untuk pemantauan berterusan.

“Kami mahu pemain bangkit dan sedar mengenai masalah disiplin yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pemain perlu faham bahawa disiplin bukan sekadar penting, malah ia adalah segala-galanya,” tambah beliau.

Terdahulu, Tengku Datuk Seri Zafrul menegaskan BAM akan memperketat penguatkuasaan disiplin dalam skuad kebangsaan antaranya mewajibkan pemain belum berkahwin tinggal di asrama.

Kegagalan mematuhi arahan itu boleh mengakibatkan pemain terbabit tidak dibenarkan mewakili negara dalam sebarang kejohanan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.