
KUALA LUMPUR, 8 Jun – Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) optimis atlet negara mampu memberi saingan sengit di Sukan Asia 2026 dengan sasaran membawa pulang sekurang-kurangnya enam pingat daripada 10 acara yang dipertandingkan.
- Malaysia sahkan slot untuk tiga acara: Honor of Kings, Identity V dan Naraka.
- Pusingan kelayakan bagi judul lain seperti MLBB dan PUBG Mobile akan berlangsung bulan ini.
- MESF akan berbincang dengan Majlis Olimpik selepas kelayakan dan memberi tumpuan pembangunan fighting game untuk tingkatkan ranking pemain negara.
Presidennya, Muhammad Naim Al-Amin berkata sasaran itu dibuat berdasarkan potensi atlet negara serta kedudukan Malaysia yang kini berada dalam kelompok pencabar utama bagi beberapa judul permainan.
Jelas beliau, setakat ini, Malaysia telah mengesahkan slot dalam tiga acara iaitu Honor of Kings, Identity V dan Naraka, manakala beberapa judul lain termasuk Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) serta PUBG Mobile bakal menghadapi pusingan kelayakan yang dijadualkan berlangsung bulan ini.
“Selepas selesai pusingan kelayakan, kami akan bincang dengan Majlis Olimpik Malaysia untuk menentukan jumlah pasukan yang kita akan hantar dan kejohanan yang kita akan terlibat,” katanya.
Beliau ditemui ketika menyaksikan perlawanan akhir Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MPL) Malaysia musim ke-17 di Stadium Juara, Bukit Kiara, di sini pada Ahad.
Sukan Asia 2026 dijadual berlangsung di Aichi-Nagoya, Jepun pada September ini.
Tambahnya, beberapa acara dikenal pasti berpotensi menyumbang pingat kepada negara termasuk MLBB yang dijangka menyaksikan persaingan sengit daripada Indonesia dan Filipina.
Dalam masa sama, MESF berharap pembangunan bagi judul permainan lain termasuk kategori permainan pertarungan (fighting game) dapat diberi perhatian bagi membantu meningkatkan ranking pemain negara di pentas antarabangsa.