
PUCHONG, 21 Ogos – Tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, Selangor menamatkan penantian selama 25 tahun untuk meraih pingat emas acara kuadran sepak takraw selepas menewaskan Perak dalam aksi final di Arena MBSJ Puchong, hari ini.
- Pengurus Syahril: kejayaan hasil kebangkitan pemain selepas kekecewaan dalam acara regu.
- Kuartet Jeffri, Shahrain, Azim dan Adam bangkit selepas tewas set pertama, menang 2-1 (8-15, 15-12, 15-8).
- Jeffri akui tekanan kuat namun semangat berpasukan dan sokongan penyokong membantu kekal fokus hingga mata terakhir.
Pengurus Pasukan Sepak Takraw Selangor, Syahril Mohd Rashid menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil kebangkitan pemain selepas kekecewaan dalam acara regu sebelum ini.
“Bila kita bangkit, kita takkan pandang ke belakang dan akhirnya emas kuadran bagi negeri Selangor buat pertama kalinya.
“Negeri Selangor pun dah 25 tahun tak dapat emas dan akhirnya kami dapat kembalikan emas itu di bumi Selangor,” katanya ketika ditemui media selepas perlawanan.
Kuartet Selangor yang dibarisi Jeffri Ahmad, Shahrain, Azim Azizul dan Adam Haikal bangkit selepas tewas set pertama sebelum melakar kemenangan 2-1.
Selangor tewas 8-15 pada set pertama, namun bangkit memenangi dua set berikutnya dengan keputusan 15-12 dan 15-8 untuk menamatkan penantian panjang kontinjen tuan rumah.
Sementara itu, salah seorang pemain Selangor, Jeffri Ahmad mengakui tekanan cukup dirasai, terutama ketika perlawanan berlangsung sengit, namun semangat berpasukan serta sokongan penyokong membantu mereka kekal fokus sehingga mata terakhir.
“Perasaan itu sangat berdebar sebab walaupun mata kami jauh, kami rasa jurangnya sangat dekat. Tetapi kami sama-sama menyemarakkan semangat supaya dapat habiskan sehingga mata ke-15.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar,” katanya.
Kejayaan itu turut menyaksikan Selangor semakin hampir mencapai sasaran dua pingat emas yang ditetapkan Majlis Sukan Negeri Selangor bagi acara sepak takraw pada temasya SUKMA kali ini.
Selangor memperoleh satu daripada empat pingat emas yang dipertandingkan menerusi empat acara final sepak takraw pada hari ketujuh saingan.