
PUTRAJAYA, 18 Julai -Lebih 50,000 pelari dari dalam dan luar negara membanjiri Putrajaya bagi memeriahkan SCORE Marathon 2026 hari ini.
- Penganjur kali pertama laksanakan acara selama dua hari, memisahkan 5KM dan 10KM pada hari pertama, 21KM dan 42KM pada hari kedua.
- SCORE Double Challenge diperkenalkan; peserta boleh melengkapkan larian kedua-dua hari untuk memperoleh pingat eksklusif berangkai.
- Penganjuran edisi ke-13 turut meraikan ulang tahun ke-10 penaja utama AIA Vitality melalui Birthday Hub dan kejutan kek cawan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SCORE Sports Management, Patricia Tan, sambutan luar biasa terhadap acara berkenaan memungkinkan acara berkenaan menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai acara larian terbesar negara.
“Ini adalah kali pertama kami mengadakan cara berkenaan selama dua hari memandangkan jumlah peserta yang mencecah 51,000 orang.
“Disebabkan itu, kami cuba untuk memecahkan Malaysia Book Of Record (MBOR) untuk acara larian terbesar Di Malaysia”, ujarnya kepada RTM disini.
Beliau memaklumkan, seramai 24,000 peserta mengambil bahagian dalam kategori larian 5 kilometer (5KM) dan 10 kilometer (10KM) pada hari pertama (Sabtu).
Manakala bagi acara 21 kilometer (21KM) dan 42 kilometer (42KM) akan berlangsung pada hari kedua (Ahad) acara yang memasuki edisi ke-13 penganjurannya.
Jelasnya, edisi kali ini turut menyaksikan kelainan apabila buat pertama kalinya memperkenalkan SCORE Double Challenge yang membolehkan peserta melengkapkan larian pada kedua-dua hari (Sabtu dan Ahad) bagi meraih pingat eksklusif berangkai.
Acara tahun ini turut diserikan dengan sambutan ulang tahun ke-10 rakan penaja utama, AIA Vitality,menerusi Birthday Hub dengan memberi kejutan kek cawan kepada lebih 240 pelari yang menyambut hari lahir pada tarikh perlumbaan.