
ISTANBUL, 6 Ogos – Bekas bintang Liverpool, Mohamed Salah menandatangani kontrak selama dua tahun bersama kelab Turkiye, Trabzonspor selepas meninggalkan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu, sebaik kontraknya berakhir.
- Salah akan menerima gaji 17 juta euro setahun, rekod tertinggi liga Turkiye, dan 20% hasil jualan jersi menggunakan namanya.
- Disambut bak wira oleh ribuan penyokong di Trabzon; akan menghadiri majlis tandatangan kontrak bersama penyokong di stadium.
- Salah berharap memenangi gelaran liga domestik dan berjaya di pentas Eropah bersama kelab baharu; beliau tidak sabar memulakan latihan.
- Sepanjang sembilan musim di Liverpool, beliau menjaringkan 257 gol dalam 442 penampilan dan memenangi dua Liga Perdana serta satu Liga Juara-Juara.
Pemain antarabangsa Mesir berusia 34 tahun berkenaan mencapai persetujuan kontrak selama dua tahun dengan kelab berpangkalan di pesisir Laut Hitam itu, yang bakal beraksi dalam pusingan ‘playoff‘ Liga Europa pada penghujung bulan ini.
Salah, yang merupakan pemain kedua menerima gaji tertinggi dalam Liga Perdana Inggeris musim lalu bakal menerima bayaran 17 juta euro (AS$19.6 juta) semusim, tidak termasuk bonus, sekali gus mencatat rekod sebagai gaji tertinggi dalam liga Turkiye, menurut kenyataan kelab berkenaan.
Selain itu, kapten Mesir itu turut menerima 20 peratus daripada hasil jualan jersi dan barangan rasmi yang menggunakan namanya.
Salah disambut bagaikan wira oleh ribuan penyokong di bandar Trabzon dan dijadual menyertai majlis menandatangani kontrak bersama penyokong di stadium Trabzonspor pada Khamis.
“Saya benar-benar gembira dan tidak sabar untuk memulakan latihan bersama pasukan. Ke mana sahaja saya pergi, saya sentiasa mahu menang atau sekurang-kurangnya mencuba untuk memenangi sesuatu. Saya harap kami mampu mencipta kejayaan dalam liga domestik dan juga di pentas Eropah,” katanya.
Salah akan memakai jersi bernombor 10 bersama kelab baharunya.
Sebelum ini, beliau pernah beraksi di Mesir, Switzerland, Itali dan England.
Sepanjang sembilan musim bersama Liverpool, Salah menjaringkan 257 gol dalam 442 penampilan dalam semua pertandingan, sekali gus muncul penjaring ketiga terbanyak dalam sejarah kelab itu.
Beliau turut membantu Liverpool memenangi dua gelaran Liga Perdana Inggeris dan satu trofi Liga Juara-Juara UEFA.
Salah turut meledak 193 gol dalam Liga Perdana Inggeris, termasuk 191 gol bersama Liverpool, sekali gus menduduki tempat keempat dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman liga itu di belakang Alan Shearer, Harry Kane dan Wayne Rooney.
Bagaimanapun, prestasinya sedikit merosot musim lalu apabila hanya menjaringkan tujuh gol liga ketika Liverpool bergelut, namun popularitinya dalam kalangan penyokong kekal utuh.
Penampilan terakhirnya di pentas Piala Dunia menyaksikan beliau membantu Mesir mara ke pusingan 16 terbaik buat kali pertama sejak 1934, sebelum pasukan itu mensia-siakan kelebihan dua gol dan tewas kepada Argentina yang akhirnya muncul naib juara.
Salah sebelum ini turut dikaitkan dengan perpindahan ke Besiktas, seteru Trabzonspor dalam Liga Super Turkiye.
Trabzonspor menamatkan saingan di tempat ketiga liga utama Turkiye musim lalu, sembilan mata di hadapan Besiktas, sekali gus melayakkan diri ke pusingan ‘playoff’ Liga Europa.
Di peringkat antarabangsa, Salah telah menjaringkan 66 gol dalam 119 penampilan bersama Mesir dan diiktiraf sebagai antara pemain bola sepak Afrika paling berjaya dalam sejarah. -AFP