
KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Misi mempertahankan pingat emas Sukan Asia kini menjadi fokus utama jaguh skuasy perseorangan lelaki negara, Ng Eain Yow, yang bertekad memastikan gelaran dimenanginya di Hangzhou pada 2022 kekal menjadi milik Malaysia.
- Fokus memastikan tahap kecergasan terbaik dan mengelak kecederaan menjelang temasya September.
- Mengutamakan mempamerkan permainan terbaik; yakin peluang cerah jika beraksi cemerlang.
- Penampilan ketiga; pengalaman dua edisi lalu bantu kendalikan tekanan tetapi tumpu pada permainan sendiri.
- Cabaran berbeza kerana kini menjadi pemain yang ingin ditewaskan dan berdepan kebangkitan pemain muda Asia.
Pemain berusia 28 tahun itu berkata, tumpuan utamanya ketika ini adalah memastikan tahap kecergasan berada pada prestasi terbaik, selain mengelak daripada dibelenggu kecederaan menjelang temasya yang bermula September depan.
“Sudah tentu saya akan turun sebagai juara bertahan dan sasaran saya adalah mempertahankan pingat emas. Fokus utama saya ialah mempamerkan permainan terbaik kerana jika saya dapat melakukannya, saya percaya peluang untuk memenangi emas sekali lagi sangat cerah.
“Ini juga merupakan penampilan ketiga saya di Sukan Asia, jadi pengalaman daripada dua edisi lalu sedikit sebanyak membantu saya menghadapi tekanan, namun saya hanya mahu memberi tumpuan kepada permainan sendiri,” katanya ketika ditemui selepas menjalani sesi latihan di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil.
Eain Yow yang bakal membuat penampilan ketiga di pentas Sukan Asia 2026 mengakui cabaran kali ini berbeza apabila beliau kini menjadi pemain yang ingin ditewaskan, selain perlu berdepan kebangkitan ramai pemain muda Asia.
Bagaimanapun, juara Sukan Asia Hangzhou 2022 itu memilih untuk tidak terlalu memikirkan tekanan, sebaliknya memberi sepenuh tumpuan terhadap persiapan sendiri.
“Cabaran kali ini memang berbeza. Saya kini berusia 28 tahun dan ramai pemain muda dari negara lain semakin lapar untuk mencipta kejayaan.
“Kalau sebelum ini saya mengejar gelaran, kali ini saya pula perlu mempertahankannya. Itu memberikan tekanan yang berbeza, tetapi saya sudah bersedia untuk menghadapinya,” katanya.
Eain Yow muncul sebagai pemain skuasy lelaki pertama negara meraih pingat emas Sukan Asia selepas menewaskan rakan senegara, Mohamad Syafiq Kamal pada edisi Hangzhou 2022 dan kini berpeluang mempertahankan kejuaraan itu di Aichi-Nagoya.