
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah
IPOH, 20 April – Kerajaan Negeri Perak bersedia menghadapi sebarang kemungkinan susulan cadangan penangguhan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 berikutan krisis Asia Barat.
- Kerajaan Negeri Perak menunggu keputusan rasmi daripada Kementerian Belia dan Sukan serta Kerajaan Negeri Selangor.
- Persiapan atlet negeri diteruskan seperti biasa sehingga makluman rasmi dikeluarkan.
- Jika penangguhan berlaku, atlet Perak akan sertai kejohanan alternatif peringkat umur dan kebangsaan untuk kekal kompetitif.
- Sultan Selangor mencadangkan penangguhan, mengambil kira kesiapsiagaan infrastruktur termasuk pembangunan semula Stadium Shah Alam dan kos tinggi.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata pihaknya kini menunggu keputusan rasmi daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kerajaan Negeri Selangor sebagai penganjur temasya.
Beliau bagaimanapun menegaskan persiapan atlet negeri diteruskan seperti biasa sementara menunggu ketetapan muktamad.
“Kita tidak hentikan latihan atau program. Kita akan teruskan sehingga ada makluman rasmi daripada KBS dan Kerajaan Negeri Selangor sebagai penganjur. Dari pihak Kerajaan Negeri Perak, kita akur dengan pendirian yang akan diputuskan,” katanya.
Menurutnya, sekiranya penangguhan berlaku, atlet Perak akan terus diberikan pendedahan menerusi penyertaan dalam kejohanan alternatif di peringkat umur dan kebangsaan bagi memastikan prestasi kekal kompetitif.
Sebelum ini, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah penganjuran SUKMA Selangor 2026 yang dijadualkan pada Ogos depan wajar ditangguhkan sehingga krisis Asia Barat reda.
Baginda turut menekankan penangguhan itu juga mengambil kira kesiapsiagaan infrastruktur termasuk pembangunan semula Stadium Shah Alam serta kos penganjuran yang tinggi.