Nova uji gandingan Tang Jie-Clarissa

foto RTM

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Pemain beregu campuran muda negara, Clarissa San, diberi kepercayaan bergandingan bersama Chen Tang Jie sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Badminton Terbuka Jepun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nova anggap percubaan awal untuk menilai keserasian pasangan itu sebelum membuat keputusan lanjut.
  • Kejohanan antarabangsa terikat kepada sistem ranking dan tiada penggantian pasangan.
  • Persiapan belum mencapai tahap maksimum tetapi perkembangan latihan menunjukkan petanda positif.
  • Nova puji komitmen Tang Jie sebagai pemain senior dan keberanian Clarissa menimba pengalaman antarabangsa.

Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto, berkata gandingan itu merupakan percubaan awal bagi menilai keserasian mereka sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.

“Kita cuba dahulu bersama Clarissa dan lihat bagaimana keserasian mereka. Jika keadaan tidak mengizinkan, agak sukar kerana kejohanan antarabangsa tertakluk kepada ranking dan tiada penggantian pasangan,” katanya selepas sesi latihan badminton hari ini.

Nova berkata, meskipun persiapan pasangan itu belum mencapai tahap maksimum, perkembangan sepanjang latihan menunjukkan petanda positif dan beliau optimis mereka mampu memberikan saingan.

“Walaupun persiapan masih belum mencapai tahap maksimum, saya lihat perkembangan mereka semakin positif. Apa yang penting, mereka perlu memberikan yang terbaik,” jelasnya.

Beliau turut memuji komitmen Tang Jie yang menjalankan peranan sebagai pemain senior dalam membimbing Clarissa, selain menyifatkan pemain muda itu berani merebut peluang menimba pengalaman di pentas antarabangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.