
KUALA LUMPUR, 26 Jun – Keputusan pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk bergerak sebagai pemain profesional terus menjadi perhatian peminat badminton tanah air, terutama ketika beliau masih menjalani proses pemulihan daripada kecederaan.
- Keputusan keluar bukan kerana konflik; dibuat bersama BAM sebagai langkah terbaik untuk meneruskan kerjaya profesional.
- Menghargai jasa BAM sejak remaja; keputusan sukar tetapi masa sesuai untuk cabaran baharu.
- Fokus utama memulihkan kecergasan, tidak tergesa-gesa dalam pemulihan dan mengekalkan perkembangan positif.
Tze Yong menjelaskan keputusan itu bukan berpunca daripada sebarang perselisihan dengan BAM, sebaliknya, ia dicapai secara bersama selepas beberapa siri perbincangan dan disifatkan sebagai langkah terbaik untuk meneruskan kariernya.
“Saya dan BAM tidak mempunyai sebarang konflik. Keputusan ini dibuat secara bersama dan saya percaya inilah langkah terbaik untuk meneruskan kerjaya saya sebagai pemain profesional,” katanya ketika ditemui RTM.
Walaupun memilih haluan berbeza, Tze Yong tidak melupakan jasa BAM yang telah membimbingnya sejak di peringkat remaja dan mengakui keputusan itu bukan sesuatu yang mudah, namun percaya sudah tiba masanya untuk memulakan cabaran baharu.
Pada masa sama, Tze Yong berkata fokus utamanya kini adalah mendapatkan semula tahap kecergasan sebagai persiapan untuk meneruskan karier profesionalnya.
“Sudah tentu saya mahu kembali beraksi secepat mungkin, tetapi saya perlu menghormati keadaan tubuh badan sendiri.
“Saya tidak boleh tergesa-gesa kerana proses pemulihan memerlukan masa, dan yang penting saya terus menunjukkan perkembangan positif,” jelas beliau.