Marsch anggap pemain Kanada wira negara

Pemain Kanada meraikan kemenangan bersama penyokong selepas menewaskan Afrika Selatan 1-0 pada aksi Piala Dunia 2026 di Stadium Los Angeles/Foto AFP

LOS ANGELES, 29 Jun – Ketua jurulatih Kanada, Jesse Marsch, menyifatkan barisan pemainnya sebagai “wira Kanada” selepas mereka mencipta sejarah mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia buat kali pertama.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejayaan menewaskan Afrika Selatan 1-0 mengesahkan kemaraan Canada ke pusingan 16 dan dilihat penting untuk perkembangan bola sepak negara.
  • Canada tamat Kumpulan B di tempat kedua walaupun tewas kepada Switzerland, dan akan berdepan pemenang Belanda lawan Maghribi di Houston.
  • Alphonso Davies kembali selepas pulih kecederaan hamstring dan dijangka memainkan peranan lebih besar pada aksi pusingan kalah mati.

Marsch berkata, kejayaan menewaskan Afrika Selatan 1-0 bukan sahaja membawa Kanada ke pusingan kalah mati, malah menjadi detik penting dalam perkembangan bola sepak negara itu.

Beliau berkata demikian selepas ucapannya kepada pemain sejurus tamat perlawanan tular di media sosial apabila menyifatkan mereka sebagai “wira Kanada” atas pencapaian bersejarah tersebut.

Menurut Marsch, beliau mahu anak buahnya memahami betapa besar makna kejayaan itu kepada sukan bola sepak di negara berkenaan.

“Saya mahu mereka sedar betapa pentingnya detik ini kepada bola sepak Kanada,” katanya.

Selepas ini, Kanada dijadual berdepan pemenang perlawanan antara Belanda dengan Maghribi di Houston bagi merebut tempat ke suku akhir.

Marsch mengakui cabaran lebih getir menanti, namun menyifatkan perlawanan itu sebagai peluang terbaik untuk pasukannya menguji kemampuan menentang kuasa besar bola sepak dunia.

Dalam perkembangan sama, Kanada turut menerima suntikan semangat apabila pemain pertahanan Bayern Munich, Alphonso Davies, kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan hamstring dan dijangka memainkan peranan lebih besar pada aksi pusingan kalah mati.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.