
Pemain Paling Bernilai (MVP) pemain pasukan JDT, Afiq Fazail pada majlis Liga M Awards 2025 – 2026 di Angkasapuri/Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR, 13 Ogos — Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Afiq Fazail dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga M Awards 2025-2026, di Angkasapuri malam tadi.
- Afiq Fazail merangkul anugerah Pemain Tengah Terbaik, gelaran ketiga selepas 2022 dan 2023.
- Faisal Halim dinobat Penyerang Terbaik selepas penantian tiga musim dan pemulihan dari serangan asid 2024.
- JDT menguasai malam itu dengan tujuh anugerah termasuk Jurulatih Terbaik Xisco Munoz dan Penjaga Gol Terbaik Ahmad Syihan Hazmi.
Pengiktirafan itu menyaksikan Afiq menamatkan dominasi rakan sepasukan, Arif Aiman Hanapi yang mempertahankan trofi berkenaan empat kali berturut-turut.
Pemain berusia 32 tahun itu turut merangkul anugerah Pemain Tengah Terbaik, gelaran ketiganya selepas 2022 dan 2023.
“Saya rasa ini rezeki untuk isteri dan anak-anak saya. Saya pun terkejut dapat MVP kali ini. Alhamdulillah, rezeki. Terima kasih kepada rakan sepasukan kerana kalau tiada mereka, benda ini tidak akan jadi,” katanya.

Faisal Halim akhiri penantian tiga musim dinobat Penyerang Terbaik
Sementara itu, penyerang Selangor FC, Faisal Halim menamatkan penantian tiga musim apabila dinobatkan sebagai Penyerang Terbaik Liga M Awards 2025-2026.
Pemain kelahiran Pulau Pinang itu sebelum ini tiga kali tercalon pada edisi 2021, 2022 dan 2023, namun belum berjaya membawa pulang trofi berkenaan.
Lebih bermakna, kejayaan itu hadir selepas beliau bangkit daripada insiden serangan asid pada 2024 yang hampir menjejaskan kariernya.
“Anugerah ini adalah untuk membakar semangat saya selepas recovery untuk kembali ke arena bola sepak. Bukan mudah untuk saya berjuang kerana ketinggalan banyak perkara. Musim lepas saya bermain hampir semua perlawanan dan memang sukar bagi saya. Anugerah ini memberi semangat baharu untuk musim hadapan,” katanya.
Kejayaan Afiq turut melengkapkan penguasaan JDT yang membawa pulang tujuh anugerah utama, termasuk Penjaga Gol Terbaik menerusi Ahmad Syihan Hazmi buat kali keempat berturut-turut serta Pemain Import Terbaik untuk Bergson Da Silva.
Pengendali JDT, Xisco Munoz pula dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik selepas membimbing Harimau Selatan melengkapkan kuadrupel buat kali keempat menerusi kejuaraan Piala Sultan Haji Ahmad Shah, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
“Kami adalah satu pasukan dan sebuah kelab yang baik. Semua orang bekerja bersama-sama untuk memberikan yang terbaik untuk logo ini. Saya gembira dapat mewakili mereka menerima trofi ini, tetapi di belakang saya ada ramai yang bekerja keras untuk kejayaan ini,” katanya.

JDT rangkul tujuh anugerah
JDT turut dinobatkan sebagai Pasukan Terbaik, manakala Boys Of Straits diangkat sebagai Penyokong Terbaik.
Antara pemenang lain ialah Safawi Rasid bagi Kasut Emas Liga Super Tempatan, Haziq Kutty Abba sebagai Pemain Muda Terbaik dan Melaka FC yang memenangi Anugerah Fair Play.
Edisi sulung Liga M Awards selepas penjenamaan semula itu mempertandingkan 15 kategori berbanding 17 kategori pada edisi terdahulu.