
KUALA LUMPUR, 12 Ogos — Tempoh persiapan singkat menjadi cabaran utama skuad Bunga Raya 7s dalam menghadapi Siri Ragbi Asia pada 29 hingga 30 Ogos ini dan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
- Pasukan mula berkumpul awal Ogos selepas latihan individu, dengan pemantauan jurulatih secara dalam talian.
- Fokus latihan mencari balik keserasian pemain dan menambah kecergasan selepas lama tidak berlatih bersama.
- Siri Ragbi Asia menjadi medan penilaian untuk memilih barisan terbaik ke Sukan Asia.
- Skuad mensasarkan kemenangan ke atas Uzbekistan serta cuba kurangkan jurang mata berdepan China dan Hong Kong.
Kapten Bunga Raya 7s, Muhammad Azwan Zuwairi Mat Zizi berkata, pasukan hanya mempunyai kira-kira dua minggu untuk menghadapi Siri Ragbi Asia dan sekitar dua bulan sebelum Sukan Asia, sekali gus memerlukan pemain meningkatkan kecergasan dalam tempoh singkat.
“Pemain-pemain cuba untuk dapatkan kecergasan secepat mungkin dalam masa yang singkat. Kita cuba capai tahap kecergasan secepat mungkin,” katanya ketika ditemui di Gim Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil, hari ini.
Menurutnya, pasukan mula berkumpul pada awal Ogos selepas pemain menjalani latihan secara individu di lokasi masing-masing dengan pemantauan jurulatih secara dalam talian.
Katanya, fokus utama ketika ini adalah mengembalikan keserasian antara pemain selain meningkatkan kecergasan selepas lama tidak menjalani latihan bersama.
“Fokus utama latihan pasukan adalah mencari balik chemistry. Sebelum ini lama tak training sekali dan tak ada gathering, jadi sekarang baru mula camp. Fokus sekarang cari balik chemistry dan tingkatkan fitness masing-masing,” katanya.
Siri Ragbi Asia pada 29 hingga 30 Ogos ini akan menjadi medan penilaian pemain bagi membantu jurulatih menentukan barisan terbaik ke Sukan Asia Aichi-Nagoya yang dijadual berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober depan.
Bagi Sukan Asia, Azwan berkata skuad negara menyasarkan kemenangan ke atas Uzbekistan selain cuba mengurangkan jurang mata ketika berdepan China dan Hong Kong.
Sementara itu, sesi latihan hari ini turut merangkumi ujian kekuatan bagi menilai tahap kecergasan pemain sebelum diteruskan dengan latihan ketahanan otot sebagai persediaan menghadapi saingan antarabangsa.