JDT tutup saingan musim ini di laman sendiri

Stadium Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR, 4 Mei – Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengambil langkah proaktif dengan mengumumkan pertukaran venue bagi aksi Liga Super 2025-2026 antara Kelantan The Real Warriors (TRW) FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dijadual berlangsung pada 10 Mei ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlawanan dipindahkan dari Stadium Sultan Muhammad IV ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
  • Kelantan TRW memohon pertukaran, JDT bersetuju kerana cuaca tidak menentu di Kota Bharu.
  • Cuaca menjejaskan kualiti padang Stadium Sultan Muhammad IV, berisiko tidak berada pada tahap terbaik.
  • Pertemuan itu aksi terakhir musim JDT; mereka mengesahkan kejuaraan Liga Super kali ke-12 berturut-turut.

Perlawanan yang pada asalnya dijadualkan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, dipindahkan ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri selepas mengambil kira beberapa faktor kritikal.

MFL dalam kenyataan hari ini memaklumkan permohonan pertukaran venue itu dikemukakan oleh Kelantan TRW dan dipersetujui oleh JDT berikutan keadaan cuaca tidak menentu di Kota Bharu yang menjadi antara kebimbangan utama.

Menurut MFL, keadaan tersebut turut menjejaskan kualiti padang di Stadium Sultan Muhammad IV, selain menimbulkan risiko padang tidak berada pada tahap terbaik menjelang hari perlawanan.

Situasi itu bertambah rumit apabila venue berkenaan terlebih dahulu digunakan bagi aksi Liga A1 Semi-Pro membabitkan Kelantan Red Warrior FC dan Kelantan WTS FC pada 8 Mei, diikuti perlawanan Piala Belia 2026 antara Kelantan WTS FC dan Kuala Lumpur FA pada 9 Mei.

Pertembungan antara Kelantan TRW dan JDT merupakan aksi terakhir musim ini buat skuad Harimau Selatan yang telah mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut lebih awal. -BERNAMA