Atlet negara menyinar di final CRANK Boulder 2026

Salah seorang peserta menunjukkan aksi pada pentas akhir CRANK Boulder 2026 di Camp5 Eco City

KUALA LUMPUR, 3 Mei – Aksi final CRANK Boulder 2026 di Camp5 Eco City menyaksikan atlet negara mencuri tumpuan di hadapan penyokong sendiri dalam saingan sengit bertaraf antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Muhammad Rizky Syahrafli Simatupang juara kategori lelaki dengan dua 'top'.
  • Ayman Firas mara ke final, catat 'top' laluan pertama dan tamat di tempat keempat keseluruhan.
  • Dzulkram Alzam catat 'top' pada masalah kedua, beri saingan sengit kepada pemanjat elit serantau.
  • Leyna Singh juara kategori wanita pada usia 14 tahun, Joelle Cheah kedua, Ibni Balqis ketiga.

Dalam kategori lelaki, dua wakil negara, Ayman Firas dan Dzulkram Alzam mempamerkan aksi bertenaga untuk mara ke pentas final.

Ayman memulakan saingan dengan cemerlang apabila berjaya mencatat ‘top’ pada laluan pertama sebelum menamatkan saingan di tempat keempat keseluruhan.

Dzulkram pula tidak kurang hebat apabila mencatat ‘top’ pada masalah boulder kedua, sekali gus memberi saingan sengit kepada barisan pemanjat elit serantau.

Namun, gelaran juara menjadi milik atlet Indonesia, Muhammad Rizky Syahrafli Simatupang yang mencatat dua ‘top’ untuk mengungguli saingan.

Dalam kategori wanita, atlet muda berusia 14 tahun, Leyna Singh muncul juara, mengatasi Joelle Cheah di tempat kedua, manakala wakil Indonesia, Ibni Balqis di tangga ketiga.

Sementara itu, bintang muda negara, Jasmin Toh yang berusia 15 tahun turut mencuri perhatian apabila menamatkan saingan di tempat keempat.

Kejohanan yang berlangsung dari 1 hingga 3 Mei itu menghimpunkan atlet elit dan bakat muda dari seluruh rantau, sekali gus mengukuhkan kedudukan sukan panjat tebing sebagai antara sukan yang semakin berkembang di Asia Tenggara.