Jaguh pecut, Azeem sasar podium di Kejohanan Asia B-23

Muhammad Azeem Fahmi/ RTM

KUALA LUMPUR, 6 Julai- Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi menyasarkan kedudukan podium pada Kejohanan Olahraga Bawah 23 Tahun (B-23) Asia 2026 di Ordos, China yang bermula Khamis ini, selain memburu kemenangan dalam setiap perlumbaan musim ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penampilan pertama Azeem di Kejohanan Asia B-23 selepas terus ke B-23 tanpa melalui kategori B-18 dan B-20.
  • Persaingan dijangka sengit kerana majoriti pelari pecut terbaik Asia berada dalam kategori itu.
  • Kejohanan menjadi medan terbaik menilai prestasi menjelang Sukan Asia di Jepun, sasaran utama musim ini.
  • Azeem akan beraksi 100m, 200m dan membantu dalam acara 4x100m; sudah lama tidak buat kedua-dua acara individu serentak.

Azeem berkata kejohanan itu menjadi penampilan sulungnya di pentas Asia bagi kategori B-23 selepas tidak berpeluang beraksi dalam kategori B-18 dan B-20 sebelum ini.

“Ini penampilan pertama saya dalam kejohanan Asia B-23. Sasaran saya sudah tentu untuk berada di podium dan insya-Allah untuk menang setiap perlumbaan,” katanya kepada pemberita di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini.

Atlet berusia 22 tahun itu berkata persaingan di Ordos dijangka sengit memandangkan majoriti pelari pecut terbaik Asia berada dalam kategori tersebut.

Katanya, kejohanan itu menjadi medan terbaik menilai prestasi semasa menjelang Sukan Asia di Jepun yang menjadi sasaran utama musim ini.

Azeem turut akan beraksi dalam acara 100 meter dan 200 meter selain membantu skuad negara dalam acara 4×100 meter berganti-ganti.

“Saya dan jurulatih putuskan untuk berlari 100 dan 200 meter serta 4×100 meter. Sudah lama saya tidak buat kedua-dua acara individu serentak,” katanya.

Beliau berkata keyakinan untuk menghadapi musim ini turut diperkukuh menerusi pengalaman selama empat tahun menimba ilmu dan menjalani latihan di Amerika Syarikat.

Menurutnya, pengalaman itu bukan sahaja membantu meningkatkan prestasi diri, malah akan dimanfaatkan untuk dikongsi bersama rakan-rakan atlet kebangsaan.

“Pengalaman yang saya peroleh sepanjang berada di Amerika Syarikat menjadi bekalan berharga buat saya. Apa yang paling penting, saya kembali dengan semangat dan motivasi yang lebih tinggi untuk beraksi serta menyumbang kepada negara,” katanya.

Azeem turut mengesahkan beliau akan kekal di bawah kendalian jurulatihnya, Ken Harden sehingga tamat musim ini meskipun skuad olahraga negara bakal menerima khidmat jurulatih pecut baharu dari Afrika Selatan.

Katanya, program latihan bersama Harden telah dirancang lebih awal sejak Disember tahun lalu dan tidak wajar diubah ketika musim pertandingan masih berlangsung, khususnya menjelang beberapa kejohanan penting.

“Program ini sudah dirancang lebih awal, jadi saya rasa tidak sesuai untuk menukar (jurulatih) ketika musim pertandingan sedang berjalan.

“Sebarang keputusan selepas ini mungkin akan bergantung kepada penilaian selepas saingan di Kejohanan Asia nanti,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.