
SHAH ALAM, 6 Julai- Persediaan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 terus diperkukuh dengan pengumpulan dana keseluruhan hampir RM8 juta hasil kolaborasi strategik melibatkan sektor korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
- Persediaan penganjuran mencapai lebih 90 peratus; fokus pada integriti penganjuran, kebajikan dan prestasi atlet.
- Sumbangan tunai, barangan dan perkhidmatan daripada 17 GLC, syarikat swasta serta sokongan bapa angkat meringankan komitmen kewangan.
- Kerja naik taraf fasiliti oleh 12 pihak berkuasa tempatan berjalan lancar, memberi manfaat sukan jangka panjang kepada rakyat Selangor.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata jumlah tersebut diperoleh menerusi sumbangan dalam bentuk tunai, barangan dan perkhidmatan melibatkan 17 GLC serta syarikat swasta.
Menurutnya, sebahagian keperluan kontinjen turut disokong melalui peranan bapa angkat yang melibatkan Ahli Dewan Negeri (ADUN), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat tanah bagi menampung keperluan setiap acara sukan.
“Dalam kerangka kekangan peruntukan yang terhad, kita mendapat sokongan padu daripada agensi kerajaan dan syarikat luar. Langkah ini diambil bagi meringankan komitmen kewangan sekretariat,” katanya selepas Majlis Ramah Mesra Penaja dan Bapa Angkat SUKMA dan Para SUKMA 2026 di sini.
Beliau berkata persiapan Selangor selaku tuan rumah kini berada pada tahap hampir selesai merangkumi aspek infrastruktur, teknikal dan logistik.
Katanya, kerja-kerja menaik taraf kemudahan sukan oleh 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri berjalan lancar dan fasiliti berkenaan bukan sahaja untuk SUKMA, tetapi juga manfaat jangka panjang rakyat Selangor.
“Secara keseluruhan, tahap persediaan sudah mencapai lebih 90 peratus. Fokus utama sekretariat sekarang adalah memastikan penganjuran berjalan dengan integriti tanpa mengabaikan kebajikan dan prestasi atlet,” katanya.
Mohd Najwan berkata dua lokasi iaitu Dataran Kemerdekaan Shah Alam dan Setia City Convention Centre (SCCC) telah dikenal pasti sebagai lokasi majlis perasmian SUKMA 2026 dan akan dimuktamadkan selepas penilaian kos dilakukan.
Beliau berkata majlis perasmian akan dilaksanakan secara sederhana selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menekankan amalan penjimatan.
“Kita sedang mempertimbangkan lokasi yang memberi impak kepada masyarakat tetapi dengan kos minimum.Majlis ini akan lebih bersifat seremonial dan peruntukan akan diselaras supaya fokus utama kekal kepada penganjuran sukan dan kebajikan atlet,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan seramai 1,500 sukarelawan telah mengesahkan penyertaan setakat ini, dengan sasaran keseluruhan 3,000 orang bagi membantu sepanjang SUKMA dan Para SUKMA 2026 berlangsung.