16 pendaki Puspanita JPM bakal tawan Gunung Kinabalu

Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz (tengah) bersama barisan pendaki Puspanita untuk Misi Tawan Gunung Kinabalu 2026/ RTM

PUTRAJAYA, 6 Julai- Seramai 16 pendaki Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) Cawangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan menyertai misi menawan Gunung Kinabalu sebagai usaha memperkukuh ketahanan fizikal dan mental penjawat awam wanita.

RINGKASAN BERITA AI
  • Misi pendakian mencerminkan pendekatan holistik membentuk ketahanan fizikal dan mental penjawat awam.
  • Ekspedisi bukan sekadar sampai puncak; ia kembara menakluki diri melalui disiplin, kesungguhan dan memahami erti kesabaran.
  • Cabaran sebenar ialah mengawal rasa takut, penat dan ragu-ragu dalam diri ketika menghadapi laluan curam dan kesukaran pernafasan.
  • Program berimpak tinggi memupuk disiplin, ketahanan diri serta semangat kerja berpasukan, bukan sekadar aktiviti rekreasi.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) merangkap Penasihat Puspanita Cawangan JPM, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata penganjuran misi pendakian itu mencerminkan pendekatan holistik dalam membentuk daya tahan diri penjawat awam.

“Ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu setinggi 4,095 meter ini bukan sekadar perjalanan untuk sampai ke puncak. Ia adalah kembara menakluki diri sendiri melalui disiplin, kesungguhan dan memahami erti kesabaran.

“Oleh itu, kepada 16 peserta yang bakal bertolak nanti, cabaran sebenar bukan hanya pada permukaan curam atau persekitaran mencabar pernafasan, tetapi bagaimana mengawal rasa takut, penat dan ragu-ragu dalam diri sendiri,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelepasan Misi Tawan Gunung Kinabalu Puspanita Cawangan JPM Tahun 2026 di Dewan Mezzanine, di sini hari ini.

Ekspedisi yang dijadualkan berlangsung dari 14 hingga 17 Julai itu disertai 16 pendaki dan diketuai Pengerusi Puspanita Cawangan JPM, Puan Sri Dr Azlifah Bahari selaku ketua delegasi.

Beliau berkata program berimpak tinggi seperti itu penting dalam memperkukuh ketahanan fizikal, di samping membentuk kekuatan mental serta semangat kerja berpasukan dalam kalangan peserta.

“Misi ini bukan sekadar aktiviti rekreasi, tetapi platform membina disiplin, ketahanan diri dan kerjasama pasukan yang utuh,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.