
KUALA LUMPUR, 6 Julai- Sukan Komanwel Glasgow 2026 bulan depan menjadi medan ujian penting buat skuad renang negara menilai tahap sebenar prestasi semasa menjelang Sukan Asia, kata ketua jurulatih renang kebangsaan, Michael Kinross.
- Ketua jurulatih Michael Kinross baru dua bulan memimpin; gunakan tempoh untuk penyesuaian, memperincikan strategi dan pendekatan latihan.
- Penyertaan bukan sekadar mengejar kedudukan; ia platform mengukur kemampuan berdepan jaguh dunia seperti Kanada dan Australia.
- Empat perenang lelaki disahkan akan menggalas cabaran negara: Ananda Lim Yin Chuen, Khiew Hoe Yean, Jayden Tan, Arvin Shaun Singh.
- Teknikal dan mental diberi penekanan: perincian kiraan strok, simulasi perlumbaan, dan semangat bangga mewakili Malaysia.
Beliau yang baru dua bulan mengemudi kem renang kebangsaan berkata tempoh singkat itu dimanfaatkan sebagai fasa penyesuaian bersama atlet bagi memperincikan strategi latihan dan pendekatan di kolam renang.
Menurutnya, penyertaan di temasya itu bukan sekadar mengejar kedudukan, sebaliknya menjadi platform mengukur kemampuan atlet apabila berdepan jaguh dunia seperti Kanada dan Australia.
“Kami sangat teruja untuk menjadikan Sukan Komanwel sebagai platform menilai aspek yang perlu diperbaiki.
“Tiada pentas yang lebih baik untuk menguji kemampuan diri selain bersaing dengan antara negara renang terbaik dunia,”” katanya ketika ditemui pada lawatan ketua kontinjen (CDM) ke Sukan Komanwel 2026 di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.
Kinross mengesahkan empat perenang lelaki akan menggalas cabaran negara di Glasgow iaitu Ananda Lim Yin Chuen, Khiew Hoe Yean, Jayden Tan dan Arvin Shaun Singh Chahal, yang akan bertanding dalam beberapa acara individu serta acara berganti-ganti.
Beliau berkata penekanan turut diberikan terhadap perubahan mentaliti atlet dengan menerapkan rasa bangga mewakili negara serta meletakkan Malaysia sebagai keutamaan.
“Antara perkara utama yang diterapkan adalah mentaliti berbangga mewakili negara dan meletakkan Malaysia sebagai keutamaan.
“Kami mahu perenang kita sedar bahawa setiap kali mereka menyarung topi renang negara, mereka bukan sahaja membawa nama sendiri, tetapi menjadi inspirasi kepada generasi akan datang,” katanya.
Dari aspek teknikal, latihan kini memberi tumpuan kepada perincian kiraan strok serta simulasi perlumbaan bagi meningkatkan ketepatan, konsistensi dan keyakinan atlet ketika kejohanan.