Klopp selar campur tangan Trump dalam keputusan FIFA

Jürgen Klopp hadir menyaksikan perlawanan pusingan 16 Piala Dunia 2026 antara Brazil dan Norway di Stadium New York pada 5 Julai/ AFP

BERLIN, 6 Julai- Bekas pengendali Liverpool, Jürgen Klopp menyelar keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang menarik balik penggantungan penyerang Amerika Syarikat (AS), Folarin Balogun selepas insiden kad merah dalam saingan Piala Dunia 2026 sambil menyifatkan ia menjejaskan integriti bola sepak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Klopp mengecam pembatalan penggantungan Balogun, kata ia menjejaskan integriti bola sepak dan bercanggah dengan semangat peraturan permainan.
  • Keputusan disiplin seharusnya berdasarkan peraturan tanpa pengaruh politik atau tekanan luar, tegas Klopp.
  • Sumber berkata Donald Trump menghubungi Gianni Infantino meminta semakan semula, mencetuskan keraguan terhadap ketelusan FIFA.
  • DFB dan pihak lain menuntut penjelasan kerana keputusan itu mencetuskan perdebatan mengenai konsistensi penguatkuasaan disiplin.

Klopp berkata keputusan berkenaan bercanggah dengan semangat peraturan permainan apabila hukuman terhadap Balogun yang sebelum ini dikenakan kad merah dibatalkan selepas campur tangan pihak luar.

“Ini permainan kita, bukan permainan mereka. Jika perkara ini benar-benar diputuskan antara Donald Trump (Presiden AS) dan Gianni Infantino (Presiden FIFA), ia sesuatu yang amat membimbangkan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa keputusan disiplin seharusnya kekal berasaskan peraturan sedia ada tanpa sebarang pengaruh politik atau tekanan luar.

Folarin Balogun/ AFP

Kontroversi tercetus selepas Balogun pada asalnya digantung satu perlawanan susulan kad merah ketika aksi menentang Bosnia, namun FIFA kemudian menangguhkan penggantungan tersebut selama setahun, sekali gus membolehkan beliau diturunkan menentang Belgium.

Sumber memaklumkan keputusan itu dibuat selepas Trump didakwa menghubungi Infantino bagi meminta semakan semula hukuman tersebut.

Keputusan itu mencetuskan reaksi pelbagai pihak termasuk Presiden Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB), Bernd Neuendorf yang meminta penjelasan segera daripada FIFA dan menegaskan ia boleh menjejaskan kredibiliti kejohanan.

FIFA sebelum ini membenarkan penangguhan hukuman di bawah peruntukan tertentu dalam statut badan induk itu, namun keputusan berkenaan kembali mencetuskan perdebatan mengenai konsistensi penguatkuasaan disiplin dalam kejohanan.

Balogun sebelum ini menerima kad merah selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati beliau memijak pemain Bosnia ketika aksi pusingan 32 terbaik.

Terdahulu, Trump menyambut baik keputusan FIFA menangguhkan penggantungan Balogun dan menyifatkannya sebagai tindakan tepat serta membetulkan keputusan yang tidak adil.

“Terima kasih kepada FIFA kerana melakukan perkara yang betul dan membetulkan satu ketidakadilan besar!,” katanya menerusi platform Truth Social. -AFP

Foto fail Donald Trump dan Presiden FIFA, Gianni Infantino (kiri) semasa majlis undian Piala Dunia FIFA 2026 di Kennedy Center, Washington DC pada 5 Disember 2025 (Foto kecil: Tangkap layar Truth Social Trump)/ AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.