
KOLKATA, India, 1 Oktober- Peminat bola sepak India bakal menyaksikan aksi bersejarah apabila skuad kebangsaan negara itu menentang Brazil dalam aksi persahabatan di Stadium Salt Lake, Kolkata pada Sabtu.
- Presiden AIFF Kalyan Chaubey anggap perlawanan dengan Brazil sebagai detik bersejarah dan peluang dinantikan pemain India.
- India, yang belum pernah layak ke Piala Dunia, lihat pertemuan ini sebagai peluang menguji kemampuan menentang pasukan gergasi.
- Skuad Brazil dibarisi Vinicius, Marquinhos, Raphinha, Gabriel Magalhaes dan Bruno Guimaraes; Ancelotti mahu pemain serius, bukan anggap aksi semata.
- Keputusan AIFF menarik diri daripada Piala ASEAN untuk beri keutamaan perlawanan ini mencetus kritikan.
India yang berada di ranking ke-138 dunia akan berdepan juara dunia lima kali itu yang dibarisi antara lain bintang Real Madrid, Vinicius Junior.
Presiden Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF), Kalyan Chaubey menyifatkan pertemuan dengan Brazil itu adalah peluang yang amat dinantikan oleh setiap pemain negara.
“Ini adalah perlawanan yang diimpikan setiap pemain dan saya fikir pertemuan dengan Brazil merupakan detik bersejarah bagi India,” katanya.
India tidak pernah layak ke Piala Dunia dan pertemuan itu menjadi peluang untuk mereka menguji kemampuan menentang salah satu pasukan gergasi bola sepak dunia.
“Ini perlawanan yang amat penting buat kami. Kami berdepan pasukan besar dan ia pasti sukar, tetapi apabila berada di padang, ia tetap 11 lawan 11,” kata penyerang India, Rahim Ali.
Selain Vinicius, skuad Brazil turut menampilkan kapten Paris Saint-Germain, Marquinhos, penyerang Barcelona, Raphinha serta pemain Arsenal, Gabriel Magalhaes dan Bruno Guimaraes.
Brazil yang berada di ranking kelima dunia hadir selepas mencatat kemenangan dan seri dalam aksi persahabatan menentang Australia.
Jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti mengingatkan anak buahnya supaya tidak menganggap perlawanan itu sekadar aksi pameran, sambil menegaskan tiada istilah perlawanan persahabatan bagi pasukan yang sedang melalui fasa peralihan.
India sebelum ini seri 1-1 dengan Panama di Bengaluru dan dijadual menentang Uruguay di Kolkata pada 6 Oktober.
Pertemuan dengan Brazil bagaimanapun mendapat kritikan selepas AIFF menarik diri daripada Piala ASEAN bagi memberi keutamaan kepada perlawanan berkenaan. -AFP