Danish Iftikhar tersenarai dalam Program Podium MSN

Danish Iftikhar Muhammad Roslee. Foto/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Febuari– Pelari pecut muda negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee secara rasmi tersenarai dalam Program Podium di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai persiapan menghadapi temasya utama termasuk Sukan SEA 2027 di Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Danish Iftikhar rasmi tersenarai dalam Program Podium MSN sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA 2027.
  • Penyertaan Program Podium diberikan automatik kepada pemenang pingat Sukan SEA tanpa mengira warna.
  • Danish, 19, memenangi dua pingat gangsa Sukan SEA 2025 dan memecahkan rekod kebangsaan 200m.
  • Pengiktirafan ini membuka peluang sokongan berstruktur untuk pembangunan prestasi serantau dan antarabangsa.

Perkembangan itu disahkan Setiausaha Agung Olahraga Malaysia (MA), Nurhayati Karim yang menjelaskan, penyertaan dalam Program Podium diberikan secara automatik kepada atlet yang memenangi pingat di Sukan SEA tanpa mengira warna.

“Danish ada, saya rasa rakyat Malaysia kena faham program podium ini adalah mereka yang menang pingat di sukan SEA. Jadi secara automatik mereka ada dalam program podium.

“Surat tawaran pun kita akan bagi kepada atlet dan jika terma dan syarat ditepati dan atlet boleh juga ambil peluang ini mereka boleh menyertai program podium MSN” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja di MSN, Bukit Jalil.

Setakat ini, seramai 21 atlet diluluskan dalam Program Podium, manakala 40 lagi berada dalam Program Pelapis sebagai persediaan menjelang Sukan SEA 2027.

Terdahulu, atlet berusia 19 tahun itu dilapor tidak berada di bawah program MSN tersebut meskipun menyerlah di pentas Sukan SEA 2025 dan SUKMA Sarawak 2024.

Pelari pecut dari Johor berkenaan sebaliknya hanya berada dalam program bakat negeri.

Pada Sukan SEA 2025, Danish mencuri tumpuan apabila meraih dua pingat gangsa dalam acara 100 meter (m) dan 200m.

Lebih membanggakan, Danish turut meleburkan rekod kebangsaan 200m dengan catatan 20.73 saat.

Selain turut menyumbang pingat perak dalam acara 4x100m bersama Alif Iman Fahmi, Jonathan Nyepa dan Pengiran Aidil Auf Hajam dengan catatan 39.03s serta mencipta rekod peribadi terbaik 10.18s dalam pusingan saringan 100m.

Kemasukan Danish ke dalam Program Podium dilihat sebagai pengiktirafan terhadap prestasi konsistennya, sekali gus membuka ruang lebih luas untuk pembangunan dan sokongan berstruktur dalam memburu kejayaan lebih besar di pentas serantau dan antarabangsa.