Beasley kekal Pengarah Teknikal PKBM hingga tamat kontrak

John Beasley (kanan sekali) semasa mengadakan pertemuan bersama atlet lumba basikal trek negara di Velodrom Nasional, Nilai / foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengesahkan John Beasley akan terus memegang jawatan sebagai Pengarah Teknikal sehingga kontraknya tamat pada Januari 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Beasley berkemungkinan beralih peranan kepada bimbingan atlet elit.
  • PKBM menumpukan persiapan ke Sukan Komanwel, Sukan Asia dan kelayakan Olimpik.
  • Beasley memberi jaminan sokongan, terutamanya jika Datuk Azizulhasni menyertai Olimpik LA28.
  • PKBM keluarkan surat tunjuk sebab kepada seorang, seorang lagi dalam pemerhatian; tiada toleransi terhadap gangguan organisasi.

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, Beasley komited untuk menghabiskan tempoh kontrak berkenaan bagi memastikan kesinambungan program latihan atlet negara tidak terjejas.

“Beasley masih lagi Pengarah Teknikal PKBM dan beliau tidak meletak jawatan. Beliau akan terus berkhidmat sehingga kontraknya berakhir pada Januari 2027 demi kepentingan persiapan pasukan ke temasya besar akan datang,” katanya pada sidang media di ibu negara.

Mengulas mengenai hala tuju selepas tamat kontrak tersebut, Datuk Amarjit memaklumkan Beasley berkemungkinan besar akan beralih peranan daripada jawatan pentadbiran teknikal kepada fokus bimbingan atlet elit.

Langkah itu selari dengan perancangan jangka panjang PKBM untuk mempersiapkan jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menghadapi kempen Olimpik Los
Angeles 2028 (LA28).

“Fokus utama kami sekarang adalah persiapan ke Sukan Komanwel, Sukan Asia dan kelayakan Olimpik. Beasley telah memberikan aku janji untuk terus menyokong pasukan
negara dalam apa jua kapasiti, terutamanya jika Datuk Azizulhasni memutuskan untuk bersaing di LA28,” tambahnya.

John Beasley (kanan) mengawasi pelumba berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang ketika menjalani latihan intensif di Velodrom Nasional, Nilai / foto Bernama

Dalam pada itu, PKBM mendedahkan pihaknya telah mengenal pasti individu yang mencetuskan polemik dalaman sehingga mengganggu keharmonian organisasi serta tumpuan atlet dan jurulatih.

Menurut Datuk Amarjit, satu surat tunjuk sebab telah dikeluarkan kepada seorang individu pada pertengahan Mei lalu, manakala seorang lagi kini berada dalam pemerhatian.

“PKBM tidak akan bertoleransi dengan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan pasukan. Sebarang maklum balas atau aduan mestilah disalurkan melalui
persatuan negeri atau secara rasmi kepada persekutuan mengikut garis panduan yang ditetapkan,” tegas beliau.

Pengesahan status Beasley ini sekali gus menamatkan spekulasi berhubung kepimpinan teknikal skuad berbasikal negara, dengan tumpuan kini beralih sepenuhnya kepada sasaran podium di peringkat antarabangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.