BAM rancang rombak barisan jurulatih selepas Sukan Asia

Foto BERNAMA

PETALING JAYA, 11 Ogos – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) merancang melakukan penstrukturan semula barisan kejurulatihan kebangsaan selepas berakhirnya temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perbincangan penstrukturan masih berjalan bersama jawatankuasa, barisan jurulatih dan Majlis BAM.
  • Rombakan bertujuan memastikan kelestarian prestasi negara dan mengambil kira kemasukan pemain muda ke akademi kebangsaan.
  • BAM akan menerima pemain junior usia 13 dan 15 tahun, dan mencari jurulatih sesuai membimbing mereka.
  • Kekosongan Nova Widianto, penilaian jurulatih sedia ada, pengesahan kepulangan Teo Kok Siang 1 September, mesyuarat Jawatankuasa Prestasi Jumaat.

Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Dr. Lee Chong Wei, berkata cadangan itu kini masih di peringkat perbincangan dan perlu diperhalusi bersama jawatankuasa berkaitan, barisan kejurulatihan serta Majlis BAM.

Menurut beliau, rombakan berkenaan penting bagi memastikan kelestarian prestasi skuad negara, selain mengambil kira kemasukan pemain muda ke akademi kebangsaan.

“Beri saya sedikit masa kerana saya mahu menyusun semula pasukan jurulatih, mungkin selepas Sukan Asia. Perbincangan perlu dilakukan bersama Majlis, jawatankuasa, Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky dan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan, Kenneth Jonassen.

“Kita juga akan menerima pemain junior berusia 13 dan 15 tahun yang akan menyertai skuad kebangsaan tahun depan, jadi kita mahu mencari jurulatih yang paling sesuai untuk membimbing mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Memperkenalkan Trofi Kejohanan Badminton Piala Lee Chong Wei (LCWC) 2026 di Petaling Jaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Chong Wei berkata penstrukturan itu turut mengambil kira kekosongan yang ditinggalkan bekas Ketua Jurulatih Beregu Campuran, Nova Widianto, yang menamatkan perkhidmatannya pada 31 Julai lalu.

Dalam masa sama, BAM turut menilai keberkesanan peranan barisan jurulatih sedia ada, selain mengesahkan kepulangan bekas jurulatih kebangsaan, Teo Kok Siang, yang dijadual melapor diri pada 1 September ini.

Jawatankuasa Prestasi BAM dijadual mengadakan mesyuarat pada Jumaat ini bagi membincangkan struktur kejurulatihan berkenaan sebelum cadangan rasmi dibawa ke peringkat seterusnya untuk pertimbangan dan keputusan akhir.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.