Lee Chong Wei cari bakat baharu menerusi Piala LCWC

Foto BERNAMA

PETALING JAYA, 11 Ogos – Ikon badminton negara, Datuk Seri Dr. Lee Chong Wei, menyasarkan pencarian bakat baharu menerusi penganjuran sulung Kejohanan Badminton Piala Lee Chong Wei (LCWC) yang dijadualkan berlangsung dari 29 Ogos hingga 6 September ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trofi eksklusif bersadur emas seberat 12.5 kilogram dan tinggi 60 sentimeter, dihasilkan tangan dengan tapak kayu jati, melambangkan keazaman dan disiplin.
  • Kejohanan mempertandingkan lima kategori utama untuk peringkat umur Bawah 13, Bawah 15 dan Bawah 17 tahun.
  • Menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM100,000 dan menggunakan sistem kiraan 15 mata tiga set 15x3 selari format BWF yang dijangka.

Kemuncak kejohanan bakal menyaksikan perebutan trofi eksklusif seberat 12.5 kilogram dengan ketinggian 60 sentimeter.

Trofi bersadur emas yang menampilkan imej ikonik Chong Wei itu dihasilkan sepenuhnya menggunakan tangan daripada loyang gred premium dan dilengkapi tapak kayu jati padu.

Membawa tema “Perjalanan Menuju Kecemerlangan & Mencetus Inspirasi Juara”, reka bentuk trofi berkenaan melambangkan nilai keazaman, disiplin dan ketahanan yang menjadi teras sepanjang karier legenda badminton dunia itu.

Chong Wei berkata, penganjuran LCWC merupakan impian peribadinya untuk menyumbang semula kepada negara selepas 19 tahun berbakti bersama pasukan kebangsaan.

“Piala ini adalah simbol semangat saya untuk membantu membangunkan generasi muda Malaysia dan membawa mereka ke tahap yang lebih tinggi.

“Ini adalah cara saya menyumbang kembali kepada sukan yang telah memberikan banyak makna dalam hidup saya,” katanya pada majlis memperkenalkan trofi tersebut di Petaling Jaya.

Kejohanan itu akan mempertandingkan lima kategori utama, iaitu perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran bagi peringkat umur Bawah 13, Bawah 15 dan Bawah 17 tahun.

Lebih menarik, LCWC menawarkan jumlah hadiah wang tunai keseluruhan RM100,000, sekali gus menjadikannya antara kejohanan badminton remaja yang menawarkan hadiah lumayan di Malaysia.

Selain itu, kejohanan berkenaan akan menggunakan sistem kiraan mata 15 mata, tiga set (15×3), selaras dengan format yang dijangka dilaksanakan secara rasmi dalam Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) tahun hadapan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.