
PETALING JAYA, 11 Ogos – Kejohanan Tenis Remaja MBPJ-MILO Edisi Ke-36 mencatatkan peningkatan memberangsangkan dari segi penyertaan apabila seramai 402 pemain mengesahkan penyertaan, berbanding 297 pemain pada edisi 2025.
- Penambahbaikan kemudahan Kompleks Tenis MBPJ termasuk kerusi penonton, gelanggang dan pencahayaan meningkatkan keselesaan pemain serta penonton.
- Pengiktirafan Persatuan Lawn Tennis Malaysia dengan pemberian mata ranking rasmi menarik penyertaan pemain muda.
- Kategori U-14 dan U-12 mendapat sambutan paling menggalakkan, manakala penyertaan rentas negeri menguatkan persaingan dan kualiti tenis negara.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Datuk Mohd Yazid Sairi, berkata pertambahan sebanyak 105 peserta itu mencerminkan reputasi dan prestij kejohanan anjuran MBPJ bersama MILO yang semakin mendapat tempat dalam kalangan bakat muda tenis negara.
Beliau berkata, antara faktor yang mendorong peningkatan penyertaan adalah usaha menaik taraf kemudahan di Kompleks Tenis MBPJ.
“Ini termasuk penambahbaikan kerusi penonton, mencantikkan semula gelanggang serta meningkatkan aspek keselesaan dan pencahayaan di gelanggang tertutup dan terbuka,” katanya ketika ditemui pada sidang media Kejohanan Tenis Remaja Terbuka MBPJ-MILO 2026 di Petaling Jaya, Selangor.
Menurut beliau, pengiktirafan kejohanan di bawah Persatuan Lawn Tennis Malaysia (LTAM) yang menawarkan mata ranking rasmi turut menjadi antara faktor utama menarik penyertaan pemain muda.
Kategori umur Bawah 14 Tahun (U-14) dan Bawah 12 Tahun (U-12) pula merekodkan sambutan paling menggalakkan, sekali gus menunjukkan minat yang semakin meningkat terhadap sukan tenis dalam kalangan pemain muda.
Katanya lagi, penganjuran kejohanan secara berkala oleh MBPJ turut menyediakan platform berterusan kepada pemain muda tempatan untuk menilai prestasi dan mengukur tahap kemajuan mereka.
Pada masa sama, penganjuran kejohanan seumpama itu turut menggalakkan penyertaan pemain dari negeri-negeri lain, sekali gus membuka ruang kepada persaingan lebih kompetitif dan membantu meningkatkan kualiti sukan tenis di Malaysia.