Alonso yakin Rogers-Palmer mampu jadi gandingan berbisa di Chelsea

Foto AFP

LONDON, 28 Julai – Pengurus baharu Chelsea, Xabi Alonso percaya pemain tengah England, Morgan Rogers, mampu membentuk gandingan mantap bersama Cole Palmer selepas menyertai kelab itu dari Aston Villa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rogers menandatangani kontrak hingga 2033; perpindahan dilaporkan mencecah £117 juta, rekod pemain Britain termahal.
  • Alonso anggap Rogers pilihan terbaik untuk mengukuhkan tengah, posisi yang memerlukan pemain berkualiti tinggi.
  • Kelebihan versatiliti Rogers dan hubungan baik dengan Palmer dijangka tingkatkan keseimbangan serta kreativiti pasukan.

Chelsea melengkapkan perpindahan Rogers, 24, minggu lalu dengan kontrak sehingga 2033.

Media Britain melaporkan nilai perpindahan itu mencecah £117 juta, sekali gus menjadikannya pemain Britain termahal dalam sejarah.

Alonso berkata Rogers merupakan pilihan terbaik untuk mengukuhkan bahagian tengah pasukan, yang disifatkannya sebagai posisi yang memerlukan pemain berkualiti tinggi.

“Dalam posisi itu, kami memerlukan seorang pemain penting dan saya yakin tidak banyak pilihan yang lebih baik daripada Morgan. Kehadirannya amat bermakna kepada semua pihak,” katanya kepada pemberita menjelang aksi persahabatan pramusim menentang Western Sydney Wanderers.

Bekas pengendali Bayer Leverkusen itu, yang diberi tanggungjawab mengembalikan Chelsea ke landasan kemenangan selepas musim hambar tanpa trofi dan menamatkan saingan di tangga ke-10 Liga Perdana Inggeris musim lalu, yakin Rogers mampu menjalin persefahaman yang baik dengan Palmer.

“Saya sudah ada perancangan dan idea. Saya dapat melihat mereka bergandingan dengan sangat baik.

“Pasukan memerlukan gabungan pemain yang mampu memberikan kestabilan serta pemain yang diberi kebebasan untuk mencipta peluang.

“Jika kami berjaya mendapatkan keseimbangan itu dan meletakkan pemain-pemain istimewa di posisi yang tepat dengan kawalan permainan yang baik, saya percaya kami akan menjadi lebih kompetitif ketika menguasai bola dan juga ketika bertahan,” katanya.

Alonso turut menyifatkan kemampuan Rogers beraksi di beberapa posisi sebagai satu kelebihan, selain percaya hubungan baik pemain itu dengan Palmer, yang juga rakan sepasukan dalam skuad England, akan membantu meningkatkan kualiti permainan Chelsea.

“Jika kami berjaya membina keserasian dan hubungan yang baik antara mereka sehingga saling memahami corak permainan masing-masing, saya yakin ia akan menjadi satu langkah besar dalam meningkatkan kualiti permainan pasukan,” katanya.

Chelsea akan memulakan kempen Liga Perdana Inggeris musim 2026/27 dengan bertandang ke Fulham pada 24 Ogos. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.