Tentera Zionis serang bas mini di Gaza, lima penduduk maut

Serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah bas mini di kawasan Tel al-Hawa / Foto AFP

GAZA, 30 September – Lima rakyat Palestin terbunuh manakala 20 lagi cedera, termasuk wanita dan kanak-kanak, dalam serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah bas mini di kawasan Tel al-Hawa, barat daya Bandar Gaza, pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serangan udara Israel menyasarkan sebuah bas mini yang membawa orang awam antara Bandar Gaza dan kawasan tengah serta selatan Semenanjung Gaza.
  • Bas itu terkena dua peluru berpandu dilepaskan dron Israel; bahagian hadapan musnah dan kenderaan terbakar sepenuhnya.
  • Hospital Al-Shifa menerima mangsa dan mayat susulan serangan berhampiran bekas ibu pejabat kabinet di kawasan Tel al-Hawa.
  • Tentera Israel belum memberikan kenyataan; serangan itu berlaku dalam konteks perang sejak serangan Hamas 2023 dan kerosakan besar di Gaza.

Jurucakap Agensi Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Bassal, berkata, serangan itu mengenai bas yang membawa orang awam antara Bandar Gaza dengan kawasan tengah dan selatan Semenanjung Gaza.

Menurutnya, bas berkenaan terkena dua peluru berpandu yang dilepaskan dron Israel, menyebabkan bahagian hadapan kenderaan musnah dan terbakar sepenuhnya.

Hospital Al-Shifa mengesahkan menerima lima mayat serta sejumlah mangsa cedera susulan serangan terhadap sebuah kenderaan berhampiran bekas ibu pejabat kabinet di kawasan Tel al-Hawa.

Tentera Israel belum memberikan kenyataan berhubung serangan itu.

Perang di Gaza tercetus selepas serangan Hamas ke atas Israel pada 2023 yang mengorbankan 1,221 orang, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.

Serangan balas besar-besaran Israel kemudiannya menyebabkan sebahagian besar Semenanjung Gaza musnah dan lebih 74,000 orang terbunuh, menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang berada di bawah pentadbiran Hamas.

Sejak gencatan senjata diumumkan pada Oktober tahun lalu, lebih 1,400 orang dilaporkan terbunuh di Gaza, manakala tentera Israel melaporkan lima anggotanya serta seorang kontraktor awam terbunuh dalam tempoh sama. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.