
PARIS, 27 Julai – Kegagalan menyesuaikan diri dengan kepantasan perubahan meta dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang menjejaskan prestasi juara bertahan Selangor Red Giants (SRG) sehingga tersingkir seawal peringkat kumpulan dalam saingan Mid Season Cup x Esports World Cup (MSC x EWC) di Paris, semalam.
- SRG tersingkir selepas tewas 0-2 kepada ONIC, gagal ke peringkat kalah mati dan mempertahankan kejuaraan.
- SRG menguasai permainan pertama tetapi keputusan kurang tepat pada fasa akhir memberi ruang kepada ONIC untuk bangkit.
- Uniii akui kelemahan dalam membuat keputusan dan pelaksanaan strategi; bertekad jadikan pengalaman sebagai pengajaran dan kembali lebih kuat.
SRG menamatkan cabaran selepas tewas 0-2 kepada wakil Indonesia, ONIC, sekali gus gagal melangkah ke peringkat kalah mati dan mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu.
Pemain jungler SRG, Muhammad Danish Fitri Razman atau lebih dikenali sebagai Uniii, berkata pasukan itu sedikit terlewat menyesuaikan diri dengan meta baharu yang digunakan sepanjang kejohanan, sekali gus memberi kesan terhadap corak permainan mereka.
“Saya tidak boleh mengulas banyak kerana tidak bermain pada perlawanan awal, tetapi daripada apa yang saya lihat, pasukan kami masih belum dapat menyesuaikan diri sepenuhnya dengan meta.
“Kami sedikit lambat untuk mengikuti perubahan tersebut,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Menurut Uniii, SRG sebenarnya menguasai permainan pertama sejak peringkat awal hingga pertengahan perlawanan.
Bagaimanapun, beberapa keputusan yang kurang tepat pada fasa akhir permainan membuka ruang kepada ONIC untuk bangkit sebelum mengesahkan kemenangan.
Beliau mengakui kelemahan dalam aspek membuat keputusan serta pelaksanaan strategi ketika perlawanan menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kegagalan pasukan dalam kejohanan kali ini.
Walaupun kecewa gagal mempertahankan kejuaraan, Uniii bertekad menjadikan pengalaman pahit itu sebagai pengajaran berharga untuk memperbaiki kelemahan pasukan dan kembali lebih kuat pada kejohanan akan datang.