Vesel kargo disyaki bersauh tanpa kebenaran ditahan

Foto APMM Perak

IPOH, 8 November – Sebuah vesel kargo berdaftar di Gambia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak selepas disyaki bersauh tanpa kebenaran di perairan negara, kira-kira 4.3 batu nautika barat daya Pulau Jarak, Lumut, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemeriksaan mendapati vesel membawa 21 kru: 11 warga Pakistan, lapan warga Iran dan dua warga Indonesia.
  • Vesel dikesan menerusi radar SWASLA sebelum pemeriksaan, yang mendedahkan dua kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
  • Semua kru termasuk ketua jurutera dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Perak; dokumen kapal disita untuk siasatan lanjut mengikut ordinan.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, pemeriksaan mendapati vesel itu membawa 21 kru terdiri daripada 11 warga Pakistan, lapan warga Iran dan dua warga Indonesia.

“Vesel berkenaan dikesan menerusi radar Sistem Pengawasan Maritim (SWASLA) Lumut sebelum maklumat disalurkan kepada aset penguatkuasaan untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan turut mengenal pasti dua kesalahan yang disyaki dilakukan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia serta gagal memaklumkan ketibaan vesel di perairan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Susulan itu, kesemua kru termasuk ketua jurutera vesel dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak bagi membantu siasatan, manakala dokumen berkaitan kapal turut disita untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut peruntukan berkaitan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.