
KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Pelbagai kemudahan pembiayaan yang disediakan menerusi Belanjawan 2027 dijangka memperkukuh sektor agromakanan, meningkatkan kapasiti pengeluaran serta menyokong keterjaminan makanan negara.
- Pembiayaan khusus termasuk RM40 juta untuk akuakultur, dana lebih RM1 bilion dan RM100 juta hibrid untuk penanaman semula pekebun kecil.
- Peningkatan pembiayaan mikro kepada RM6.6 bilion serta geran padanan sehingga RM5,000 bagi pensijilan halal untuk perusahaan mikro dan kecil.
- Kemudahan perumahan untuk pekerja gig dan pembiayaan mesra seperti 50 peratus boleh dibayar balik mengurangkan beban serta tingkatkan produktiviti.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berpandangan, sokongan itu membolehkan pengusaha memperluas operasi, mengguna pakai teknologi pertanian lebih cekap serta mengurangkan kekangan kewangan.
Antara inisiatif utama ialah pembiayaan RM40 juta bagi projek akuakultur serta dana melebihi RM1 bilion melalui Agrobank dan beberapa institusi kewangan lain.
Beliau berkata, pembiayaan hibrid RM100 juta kepada 4,500 pekebun kecil bagi tujuan penanaman semula pula mampu mengurangkan beban kewangan golongan berkenaan.
“Hanya 50 peratus daripada pembiayaan berkenaan perlu dibayar balik, sekali gus meningkatkan produktiviti kebun serta menyokong kemampanan industri sawit negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Tengku Ahmad Badli turut menyambut baik peningkatan peruntukan pembiayaan mikro kepada RM6.6 bilion, selaras usaha memperluas akses kepada usahawan tani dan peniaga kecil.
Keperluan terhadap pembiayaan lebih mudah serta inklusif dapat dilihat menerusi 15 siri jelajah pasar tani sempena Skim Usahawan Tani Agrobank x FAMA tahun ini.
Program itu merekodkan permohonan pembiayaan perniagaan melebihi RM13 juta.
Dalam masa sama, beliau menyifatkan geran padanan sehingga RM5,000 kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi mendapatkan pensijilan halal kali pertama sebagai langkah positif untuk mengukuhkan industri halal.
Kemudahan pembiayaan perumahan melalui Agrobank kepada pekerja gig pula dijangka membantu golongan berkenaan memiliki rumah pertama.
“Keutamaan kami bukan sekadar menyediakan pembiayaan, tetapi memastikan sokongan ini benar-benar membantu pengusaha mengatasi cabaran, meningkatkan produktiviti dan membina perniagaan lebih kukuh.
“Kejayaan bukan hanya diukur berdasarkan jumlah pembiayaan yang disalurkan, tetapi juga impak nyata terhadap pengusaha, industri agromakanan dan keterjaminan makanan negara,” katanya.
Setakat September 2026, Agrobank meluluskan pembiayaan RM2.08 bilion kepada 7,236 pengusaha dalam sektor pertanian, agromakanan, penternakan, perkhidmatan dan perikanan.